Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, ACP Wan Rukman Wan Hassan berkata suspek berusia 65 tahun yang merupakan seorang pemandu lori ditahan di lebuhraya Gopeng, Perak, kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

NIBONG TEBAL – Sepasang suami isteri mengalami kecederaan parah selepas diserang dan ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Kuang Indah, Sungai Bakap di sini malam tadi.

Suami berusia 48 tahun cedera ditetak di bahagian dada, belakang badan dan patah tangan kiri, manakala isterinya berumur 37 tahun ditetak di tangan kanan dan kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, pasangan berkenaan sedang berjalan dari tokong selepas bersembahyang dan menuju ke kereta mereka yang diletak berhampiran kawasan perumahan tersebut sebelum diserang.

“Tiga lelaki bersenjatakan parang panjang tiba-tiba menyerang pasangan suami isteri itu dan mereka cuba melarikan diri namun gagal berikutan suspek menetak mereka bertubi-tubi sebelum tiga suspek meninggalkan mangsa di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Katanya suami isteri itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya berikutan kecederaan parah yang dialami.

Shafee berkata pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu dan polis sedang menyemak rakamannya bagi mengesan tiga lelaki yang menyerang pasangan suami isteri tersebut.

Katanya motif kejadian masih dalam siasatan dan berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa mendakwa tidak tahu sebab mereka diserang dan ditetak, malah langsung tidak mengenali tiga suspek tersebut.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan usaha mengesan tiga suspek giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkan kepada polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya. – BERNAMA