Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUCHONG – Kes pukul melibatkan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dengan seorang anggota pengiringi orang kenamaan akan terus disiasat sehingga pihak polis dan peguam negara berpuas hati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes itu tidak akan ditutup dan ia memerlukan masa tertentu untuk pihak polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada peguam negara.

“Ada bukti jelas kes ini. Siapa kata tutup, dia kadang-kala proses mengambil masa, tapi memang jadi perhatian.

“Saya secara peribadi mengambil tahu tentang hal yang sedemikian sama ada kes yang melibatkan OKU atau orang biasa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota pengiring orang kenamaan didakwa memukul seorang lelaki OKU di KL Sentral pada 28 Mei lalu.

Dalam kejadian berkenaan, pemandu e-hailing berusia 46 tahun dilaporkan OKU bisu dan pekak mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika sedang menunggu penumpang di lobi hotel itu.

Mangsa turut menyatakan dipukul di kepala ketika diminta mengalihkan keretanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.

Menurut Anwar, semua pihak harus bertenang dan memberi laluan kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan sebarang pelanggaran undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah.

“Janganlah kita ambil hukum, biarlah proses siasatan, ada masalahnya dan polis mesti puas hati, peguam negara mesti puas hati dan ambil tindakan.

“Saya tidak setuju satu hal, prinsip negara ini ialah ada hukum, betul, tapi jangan hukum berdasarkan khabar angin ataupun persepsi.

“Kadang-kala kita menghukum sebelum siasatan atau sebelum tahu keputusan siasatan yang mesti dirujuk kepada peguam negara, akhirnya memutuskan sama ada untuk didakwa atau tidak berdasarkan fakta mestilah peguam negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast