KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin mengakui tidak serik meneruskan aktiviti berbasikal.
Hasrat itu dinyatakan walaupun cedera selepas terlibat dalam kemalangan kecil dalam pertandingan berbasikal RHB Cycling Ride 2019 malam kelmarin.
Siti, 40, memberitahu, dia sanggup menahan kesakitan akibat apabila mengalami luka di lutut demi menamatkan perlumbaan.
Namun dia bersyukur tidak mengalami kecederaan serius kerana kebiasaannya penunggang basikal yang terjatuh terdedah kepada kecederaan kepala dan leher.
“Terima kasih kepada peminat yang prihatin. Sebenarnya masa jatuh saya cuba elak krew di hadapan namun gagal kerana terlalu rapat dan melanggarnya tayar basikalnya.
“Ketika itu suami (Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa) sudah sampai di garisan penamat dan apabila mengetahui saya jatuh, beliau suruh saya naik motosikal pengiring.
“Namun saya hendak habiskan juga,” katanya pada kepada media selepas majlis pelancaran ShopeeXSimplySiti di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Siti menambah insiden itu membuat dirinya perlu sentiasa beringat untuk meneruskan aktiviti berbasikal pada masa akan datang.
Sambil mengaku dirinya lasak, kata Siti, suaminya sudah ‘masak’ dengan sikapnya itu.
“Semua benda yang kita buat ada risiko namun kena sentiasa beringat. Macam saya ketika turun bukit dalam keadaan laju, memang terfikir bahaya dan ada berzikir dalam hati,” katanya.
Semalam menerusi kemas kini laman Instagramnya, pelantun Kasihku Selamanya itu memberitahu, dia sanggup menahan kesakitan akibat kecederaan demi menamatkan perlumbaan untuk anaknya, Siti Aafiyah Datuk Seri Khalid.
“Habis koyak seluar baharu dan lutut akibat terjatuh, tetapi saya teruskan juga kayuhan hingga ke garisan penamat.
“Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan pingat kedua buat Aafiyah. Terima kasih buat pasukan #ctdkteam kerana memberi banyak sokongan sepanjang perlumbaan ini,” tulisnya lagi.
Siti yang terkenal dengan hobi berbasikal telah menamatkan kayuhan sejauh 78 kilometer bagi pertandingan anjuran RHB Bank itu. – MalaysiaGazette