Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi (tengah) membincangkan sesuatu dengan AJK Pertubuhan Gagasan Prihatin Semenyih, Ahmad Asmadi Adnan (dua kiri) serta yang lain selepas membuat laporan polis berkaitan penutupan Lebuhraya LEKAS gara-gara penganjuran sebuah program kayuhan basikal sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas disekitar Semenyih di Balai Polis Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 JULAI 2019.

SEMENYIH – Penganjur program kayuhan basikal LEKAS Highway Ride 2019 digesa supaya memberikan penjelasan berhubung penutupan keseluruhan lebuh raya LEKAS pada Sabtu lalu yang didakwa telah mengakibatkan kesesakan trafik luar biasa pada hari tersebut.

Penutupan lebuh raya berkenaan dari pukul 5 petang hingga 5 pagi telah menimbulkan gangguan pergerakan kenderaan, lebih-lebih lagi ia berlaku pada cuti hujung minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi  kesal dengan perkara itu kerana ia telah menyukarkan banyak pihak terutama pasukan perubatan yang mahu memberikan bantuan kecemasan.

Katanya, penganjuran program tersebut juga tidak dimaklumkan kepada beliau selaku wakil rakyat di kawasan berkenaan dan ia merupakan suatu perkara yang dilihat sangat melampau.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menyusahkan orang ramai terutama penduduk di Semenyih.

“Penutupan sepenuhnya lebuhraya itu adalah sangat tidak wajar kerana ia merupakan laluan cepat untuk pengguna menghala ke beberapa lokasi,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.

MGF30072019_JALAN SESAK SEMENYIH08
Zakaria Hanafi

Beliau ditemani beberapa ahli dari Pertubuhan Gagasan Prihatin Semenyih (GPS).

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa pasukan perubatan yang menggunakan ambulans turut terkandas lebih setengah jam untuk memberikan bantuan kecemasan kepada seorang pesakit di Semenyih.

Katanya, perkara itu berlaku ekoran ke semua laluan mengalami kesesakan yang teruk hingga tidak ada jalan lain yang boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan.

Tambahnya, beliau tidak faham bagaimana program seumpama itu boleh diadakan tanpa mempunyai satu garis panduan yang betul hingga menimbulkan kemarahan banyak pihak terutama pengguna jalan raya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa GPS, Ahmad Ismadi Adnan menggesa Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap permasalahan yang dibangkitkan.

Beliau turut berharap agar perkara sama tidak lagi berlaku pada masa akan datang kerana implikasinya memberi kesan kepada keseluruhan pengguna jalan raya.

Tegasnya, konsesi lebuh raya juga tidak lagi boleh dibenarkan sesuka hati menutup lebuh raya tanpa sebab kerana tanggungjawab mereka adalah untuk memastikan pengguna lebuh raya dapat bergerak tanpa halangan sepanjang masa.

“LEKAS jangan bersikap membuli pengguna lebuh raya dengan menjadikan sukan berbasikal untuk menghalalkan penutupan lebuh raya dalam tempoh panjang serta jangan mudah mengaut keuntungan besar.

MGF30072019_JALAN SESAK SEMENYIH06
Ahmad Asmadi Adnan

“Jika lebuh raya perlu ditutup dengan alasan yang kukuh, maka pengurusan lebuhraya perlu memastikan hebahan penutupan dibuat secara menyeluruh.

“Pasukan penyuraian trafik terlatih mesti dibentuk untuk melancarkan kesesakan di semua jalan yang terlibat ekoran kesan daripada penutupan lebuh raya,” tegasnya. – MalaysiaGazette