Mohammad Javad Zarif . foto Agensi

WASHINGTON – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ke atas Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif.

Sekatan itu akan membekukan aset-aset Zarif di Amerika Syarikat atau entiti yang dikawal oleh negara ini.

“Javad Zarif melaksanakan agenda pemimpin tertinggi Iran (Ayatollah Ali Khamenei) dengan melulu,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin.

Zarif yang memberi tindak balas terhadap tindakan tersebut berkata, Washington telah mengenakan sekatan terhadapnya kerana dia dianggap sebagai ancaman kepada agenda Amerika Syarikat.

Hubungan kedua-dua buah negara tegang sejak tahun lalu selepas Amerika Syarikat menarik balik perjanjian nuklear 2015 bertujuan mengekang aktiviti nuklear Iran.

Kebimbangan semakin meningkat susulan beberapa insiden baru-baru ini di Teluk yang boleh menyebabkan konflik ketenteraan di rantau laluan terpenting bagi perkapalan.

Semalam, Amerika Syarikat melanjutkan pengecualian yang membolehkan Rusia, China dan negara-negara Eropah meneruskan kerjasama nuklear awam dengan Iran. – MalaysiaGazette