IRELAND – Syarikat penerbangan Ryanair telah memaklumkan kepada kakitangan supaya bersiap sedia untuk menghadapi pengurangan kakitangan.
Ryanair yang memiliki lebihan 900 orang kakitangan juruterbang dan kru kabin.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael O’ Leary dalam mesej melalui video berkata, pengumuman akan dibuat pada akhir bulan ini namun tidak mendedahkan jumlah kakitangan yang terlibat.
Katanya keputusan itu disebabkan pengurangan penerbangan pada musim panas akan datang dan disebabkan penggantungan operasi Boeing 737 Max susulan dua nahas.
Selain itu, kemerosotan keuntungan, harga minyak yang tinggi dan ketidakpastian Brexit turut mendorong kepada keputusan tersebut.
“Musim panas yang mencabar dan kami akan berdepan dengan kesukaran pada musim sejuk. Saya dengan rasa sedih untuk menyatakan kita akan mengurangkan jumlah pesawat dan kakitangan, bukan sahaja untuk musim panas tahun 2020 tetapi musim sejuk 2019.
“Ini akan menyebabkan beberapa pemotongan asas, beberapa penutupan asas, dan saya sangat kesal untuk menyatakan beberapa kakitangan akan dilepaskan termasuk juruterbang dan krew kabin, pada akhir musim panas pada bulan September dan Oktober dan selepas Krismas,” kata Michael.
Beliau turut menunding jari terhadap kemungkinan kegagalan penyelesaian Brexit dalam tempoh 12 minggu ini.
“Kami khuatir ini boleh membawa kesan yang sangat merosakkan, terutamanya di pangkalan United Kingdom dan di beberapa pangkalan Ireland kerana sangat bergantung kepadapenumpang antara Ireland dan United Kingdom,” tambahnya.
Tambahnya, Ryanair kini miliki lebihan lebih daripada 500 orang juruterbang dan 400 kru kabin.
Syarikat penerbangan itu menyaksikan penyusutan keuntungan sebanyak 21 peratus bagi tempoh tiga bulan berakhir pada Jun lalu. – MalaysiaGazette