Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan diminta menjelaskan status penggunaan dana Tabung Harapan Malaysia kepada masyarakat umum khasnya para penyumbang kerana ia melibatkan soal intergriti dan ketelusan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tabung yang dilancarkan pada 30 Mei 2018 itu sejurus Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dengan mengutip derma daripada rakyat sepatutnya digunakan untuk memulihkan hutang negara seperti yang didakwa PH.

Namun jelas beliau, PH kini menjadi punca utama kepada peningkatan hutang negara sehingga menyebabkan ketidakstabilan ekonomi domestik serta menggunakan isu hutang negara sebagai retorik politik untuk kepentingan parti.

“Sehingga hari ini pemimpin PH khasnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak mengeluarkan kenyataan rasmi ke manakah perginya wang tersebut. Adakah dana tersebut digunakan untuk membantu membayar hutang negara atau pun digunakan untuk membiayai parti PH?

“Sehingga tarikh akhir 14 Januari lalu, jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia telah mencecah sebanyak RM202,716,775.10 dan status dana ini perlu dihebahkan kepada umum kerana ianya melibatkan wang rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil Faiz yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu menambah, hutang negara masih tidak susut, malah telah meningkat dengan mendadak sehingga RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018.

Namun katanya, tiada inisiatif yang dilakukan kerajaan PH untuk mengatasi masalah hutang negara dan pada masa yang sama menambahkan lagi hutang negara dengan pinjaman dari negara luar seperti Bon Panda dan Bon Samurai.

Justeru tegas beliau, Tabung Harapan Malaysia merupakan salah satu inisiatif yang lahir daripada retorik politik PH yang mendakwa Malaysia telah dibebani hutang yang ditinggalkan kerajaan lepas di mana negara berada di ambang muflis. – MalaysiaGazette