Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menilai semula komitmen mereka untuk memansuhkan Akta Hasutan demi kestabilan negara kerana kebebasan bersuara bukannya bersifat mutlak.

Tiada sebab untuk Akta Hasutan dimansuhkan kerana beberapa negara lain turut memiliki peruntukan undang-undang yang serupa iaitu untuk menjaga keharmonian dan keselamatan kaum.

Kerajaan perlu mengimbangi di antara kemahuan dan tuntutan rakan komponen dengan menjaga kepentingan berkaitan institusi Raja Melayu, umat Islam dan masyarakat Melayu sebagai teras kepada pembinaan negara ini sejak sekian lama (berdasarkan kontrak sosial yang sedia terbina).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kerajaan perlu menunjukkan ketegasan berhadapan dengan isu penghinaan kepada agama Islam dan Rasulullah SAW, walaupun ada sesetengah pihak beranggapan isu penghinaan kepada Islam dan Rasulullah SAW sebagai kes terpencil dan melabelkan pembangkang menggunakan isu ini sebagai sentimen untuk kepentingan politik.

Menurutnya, episod penghinaan kepada institusi raja seringkali dilakukan dengan menerbitkan perkataan menghina Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Malah, ada gesaan supaya institusi Raja berperlembagaan dihapuskan dan diganti dengan sistem negara republik.

Tegas Ahmad Zahid, meskipun negara mempunyai undang-undang yang berkaitan termasuklah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), malah ia juga boleh melibatkan Akta Hasutan 1948 yang mengalami pindaan terakhir pada 2015 tetapi adakah undang-undang hari ini masih longgar dan tidak mampu memberi cegah rintang terhadap kes-kes penghinaan.

Pada Mac lalu sahaja polis menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara dan 16 kertas siasatan sudah dibuka.

Terkini Polis menerima sebanyak 11 laporan berhubung hantaran seorang individu yang menggunakan nama Wendy Loong di dalam media sosial Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’ yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Katanya, janganlah disalahkan jika rakyat melabelkan ‘Islam terancam’ di bawah kerajaan hari ini, sekiranya alim ulama dalam Pakatan Harapan sendiri yang diam dan reda dengan tindakan mencabar dan menghina Institusi Raja dan Islam.

“Amat mendukacitakan kes-kes ini kelihatan semakin berleluasa dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab semakin berani menonjolkan penghinaan yang berbaur provokatif terhadap umat Islam,” katanya dalam satu catatan menerusi Facebook beliau.

Sedangkan, kata Ahmad Zahid institusi Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol, sebaliknya menjadi pengimbang kepada kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang memerintah, institusi yang menjadi medium utama bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan menjadi faktor peralihan kuasa pasca PRU ke-14 berlaku dalam keadaan harmonis tanpa provokasi.

Institusi YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu telah bertindak menjadi pengaman bagi mengelak berlakunya pergolakan politik tanah air yang akan menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Kebijaksanaan dan kearifan serta pengalaman menjadikan Institusi YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai institusi yang disegani.

Berhemah apabila menyampaikan titah nasihat kepada parti politik, kerajaan dan rakyat, tanpa mencampuri urusan pentadbiran seharian selaras dengan konsep Raja bertakhta tetapi tidak memerintah. Institusi Raja Berperlembagaan adalah kesinambungan kepada kedaulatan, kestabilan dan perpaduan terus subur, walaupun berlaku peralihan kerajaan.

Jelasnya, UMNO selamanya telah mendokong dan sedia mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi jati diri negara, tonggak kepada kedaulatan negara dan dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Kita lumpuhkan sebarang usaha dan dakyah jahat mengalihkan Institusi Raja-Raja Melayu dari istana ke muzium sepertimana yang berlaku di beberapa negara lain.

“Raja-Raja Melayu akan terus menjadi institusi semak dan imbang di Malaysia bagi mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kelestarian Malaysia, raja dan rakyat berpisah tiada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast