Lori susu terbalik
Lori susu terbalik

BACHOK – Orang ramai di sekitar Kampung Tawang, Bachok dirayu supaya memulangkan semula susu yang diambil dalam satu kejadian kemalangan di Cabang Tiga, kampung berkenaan.

Menurut Azizan Zainudin, 57, kenderaan yang membawa sejumlah 1,500 karton susu itu dipandu olen anaknya Mohd Baihaqi, 25, dan seorang lagi pekerja yang dikenali sebagai Syafiq telah terlibat dalam satu kemalangan.

Beliau pula tidak berada di lokasi kemalangan ketika kejadian.

“Daripada 1,500 karton susu, anak dan pekerja hanya sempat ambil 149 karton dan 11 tin susu saja.

“Selebihnya diambil orang ramai dan dipercayai ada pula yangmenyamar sebagai ‘taukeh’,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Menurut Azizan, syarikat beliau mengambil upah menghantar bekalan susu tin itu dari Klang ke gudang di Pengkalan Chepa.

Tambah beliau lagi, ekoran kejadian itu, beliau kini terpaksa menanggung kos kerugian pada kadar RM120, 000.

Sehingga hari ini, hanya dua penduduk yang menghantar kembali susu diambil oleh mereka.

“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan,’ katanya lagi.

Satu laporan polis turut dibuat Azizan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok semalam.

Dalam satu video yang tular semalam, orang ramai dirakam mengambil tin-tin susu daripada sebuah lori yang kemalangan.

Video berdurasi 34 saat itu dimuat naik ke Facebook dan sudah mencecah lebih 34,000 tontonan. -MalaysiaGazette