Sebahagian wakil media yang membuat liputan haji anjuran Kementerian Media Arab Saudi di Jeddah malam tadi.

JEDDAH – “Iman anda pasti semakin kuat selepas melihat sendiri semua proses ini.”

Itu kata seorang jurucakap Kementerian Media Arab Saudi mengenai proses rumit yang dilakukan kerajaannya saban tahun mengawal jutaan jemaah yang datang dari seluruh dunia menunaikan haji.

Tahun ini lebih tiga juta jemaah mengerjakan haji.

Menurutnya, sebarang kesilapan koordinasi boleh menyebabkan sebarang kemungkinan termasuk kemalangan maut namun yakin dengan janji dan kuasa tuhan membantu pihaknya mampu menguruskannya ‘tetamu’ Allah.

Beliau berkata demikian semasa taklimat malam tadi bersama 30 wakil media dari negara-negara Islam yang dijemput oleh kementeriannya membuat liputan sepanjang ibadah haji kali ini.

Wakil-wakil media termasuk dua dari Malaysia akan dibawa melihat proses haji pintar yang dilakukan di Terminal Haji di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di sini.

Proses haji pintar itu setakat ini hanya melibatkan tiga negara dan percaya pada masa depan semua proses boleh dilakukan menerusi hujung jari sahaja.

Pendekatan tersebut dinamakan Road To Mecca.

Kemudiannya, wakil media juga akan dibawa melihat pembuatan kiswah Kaabah dan proses keselamatan pihak berkuasa termasuk terowong bawah tanah yang beroperasi sepanjang musim haji.

Dalam pada itu wakil media juga akan dibawa melihat sistem bawah tanah di Tanah Suci selain dibawa meninjaunya dari ruang udara.

Selain itu, wakil media akan diberi penerangan projek pelan penambahan Masjidil Haram.

Ia sebahagian daripada usaha kerajaan Arab Saudi yang mahu menambah bilangan jemaah bagi mencapai bilangan 30 juta orang menjelang tahun 2030.

Selain itu, wakil media akan menemubual beberapa individu yang mengetuai agensi berkaitan dengan pengurusan jemaah haji di dua Tanah Suci.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast