Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PETALING JAYA – Bukan menggalakkan seks luar nikah, namun kerajaan mengutamakan perlindungan yang harus diberikan kepada golongan wanita dan anaknya daripada dibuang.

Justeru itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, program Save A Life diwujudkan.

Jelas beliau program itu bertujuan memberi perlindungan kepada wanita yang hamil luar nikah dan dalam masa yang sama mengurangkan kes pembuangan bayi.

“Namun kalau ini berlaku, ini caranya mendapat perlindungan bukan kita galak apa-apa berlaku di luar perkahwinan.

“Pembuangan bayi adalah disebabkan hamil luar nikah dan kemudian ibu takut dan tidak tahu tindakan yang boleh diambil tidak tahu tempat untuk dituju dan dapatkan sokongan,” katanya pada majlis pelancaran program itu hari ini.

Program Save A Life diwujudkan hasil kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan sebuah NGO iaitu Kasih.

Untuk rekod, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merekodkan 1,010 kes pembuangan bayi bagi tahun 2010 sehingga Mei 2019.

Untuk tahun ini sahaja sebanyak 65 kes pembuangan bayi direkodkan.

Daripada jumlah ini, kira-kira 64 peratus kes adalah melibatkan kematian bayi yang dijumpai itu.

Wan Azizah turut menyeru agar mana-mana wanita yang hamil luar nikah tidak bertindak melulu sehingga boleh mengancam nyawa anak dan diri sendiri.

“Kita perlu memfokuskan kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan kedua-dua bayi dan ibunya,” ujar beliau.

Golongan remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah boleh mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999 dan Kemudian Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk mendapatkan bantuan.

Terdahulu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sepanjang tahun lepas Talian Kasih menerima 15,000 panggilan daripada wanita yang mengharapkan bantuan akibat mengandung luar nikah.  -MalaysiaGazette