Polis Diraja Malaysia

KUANTAN – Hendak meminjam RM5,000, namun ‘terlajak’ membayar wang pemprosesan sehingga RM8,360.

Perkara itu berlaku terhadap seorang suri rumah berusia 33 tahun yang terpedaya dengan syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud, di laman sosial pada 26 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa telah berurusan dengan tiga suspek lelaki bagi permohonan pinjaman menerusi WhatsApp.

“Mangsa diterangkan syarat permohonan yang mana dia perlu menjelaskan bayaran pemprosesan sebelum boleh mendapatkan wang pinjaman.

“Suspek mengarahkan supaya wang itu dipindahkan ke tujuh akaun berbeza dan mangsa dipercayai tidak menyedari jumlah wang yang dikeluarkan sudah melebihi had permohonan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila suspek sekali lagi menghubunginya pada 1 Ogos lalu bagi meminta bayaran tambahan RM2,500.

Mangsa yang marah dengan permintaan itu meminta suspek memulangkan semula wangnya kerana mahu membatalkan pinjaman, namun suspek enggan berbuat demikian.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama