Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap pada sesi Jom Sarapan Nasi Lemak Kopi O di Pz Western Food Taman Keramat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador digesa menyemak semula Indeks Prestasi Utama (KPI) Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang mana menetapkan 45 peratus tangkapan mesti berakhir dengan pendakwaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, sekiranya KPI itu terus digunakan, semakin ramai orang akan teraniaya dan didakwa sedangkan mereka hanya mangsa keldai akaun kepada sindiket penipuan.

“Saya minta Ketua Polis Negara, saya minta Peguam Negara, Menteri Dalam Negeri dan minta Perdana Menteri sendiri suruh lihat balik (KPI & undang-undang) pasal begitu ramai yang teraniaya.

“Contohnya ada kes seorang budak ini, dia duduk dekat kedai buah, tiba-tiba polis buat serbuan ke kedai buah itu pasal ada dadah.

“Dia ini nak pergi beli buah, dia kena (dakwa), jadi dalam sistem, dua tiga hari lepaslah (lokap) tapi pun dah aniaya. tak apa lah ini tugas polis,”

“Lepas itu bila dia nak pergi minta kerja, ada pula rekod (buruk). Cuba bayangkan macam mana sistem ini, sistem kena membantu kita bukan menyusahkan kita,” katanya pada sidang media selepas sesi Jom Sarapan Nasi Lemak Kopi O di PZ Cafe Western Food, Taman Keramat, di sini, hari ini.

MGF04082019_PPIM KOPIO07
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (tengah) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada sesi Jom Sarapan Nasi Lemak Kopi O di Pz Western Food Taman Keramat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2019.

Nadzim juga berkata, jenayah keldai akaun atau ‘Mule Account’ wujud apabila kad bank dan nombor pin diserahkan mangsa kepada ceti haram atau Ah Long sebagai cagaran untuk membuat pinjaman peribadi.

“Apabila mangsa membatalkan hasratnya membuat pinjaman, kad dan nombor pin masih berada di tangan Ah Long. Mangsa tidak bimbang dalam akaun bank tiada duit dan berlenggah menuntut kad bank miliknya daripada Ah Long.

“Apabila mangsa berlenggah dan lupa untuk tuntut kad bank, sindiket ini akan menyalahgunakan akaun bank mangsa dalam urus niaga haram iaitu penipuan pembelian kereta mewah harga murah.

“Pembeli kereta akan memasukkan wang deposit ke akaun mangsa dan apabila kereta yang dijanjikan tidak sampai, pembeli akan membuat laporan penipuan atas nombor akaun mangsa dan mangsa pula didakwa,” katanya.

Katanya lagi, pemilik bank akaun tidak boleh melarikan apabila kes penipuan itu dilaporkan kepada pihak polis dan mangsa pula akan ditahan dan disoal siasat serta didakwa di mahkamah.

“Ada satu kes seorang mualaf, kad akaun dia dipinjam oleh rakannya. Orang telah guna kad ini, tapi dia didakwa dalam 10 kes. Kadang-kala polis pun tahu yang dia tidak menipu, tapi ikut undang-undang duit itu masuk ke akaun mangsa.

“Bila dibawa ke mahkamah, seorang ibu tunggal, kes berlaku di Kedah. Pegawai polis penyiasat pula kata kita tahu awak tak buat, tapi kita nak tutup kes, awak mengaku saja lah.

“Cukup ramai yang mengaku saja (salah) dan mahkamah pun denda yang kes ini jatuh denda RM1,000. Jumlah tak banyak tapi oleh kerana dia tiada duit nak bayar, dia hukum penjara 3 bulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette