Rabeya dan Rukaiya menjalani pembedahan tanpa henti selama 30 jam untuk memisahkan tengkorak dan otak mereka.

DHAKA – Selepas pembedahan tanpa henti selama 30 jam kelmarin, pasangan kembar Bangladesh yang bercantum di kepala kini beransur pulih.

Pembedahan yang dilakukan pakar bedah Hungary berjaya memisahkan tengkorak dan otak kanak-kanak berkenaan.

Sebelum ini, kembar berusia tiga tahun yang diberi nama Rabeya dan Rukaiya dikesan mengalami gangguan embriologi dan penyakit itu jarang ditemui dengan anggaran satu bagi setiap lima hingga enam juta kelahiran.

“Mereka kini dalam keadaan stabil selepas pemisahan akhir,” kata Dr Andras Csokar, pakar bedah saraf Yayasan Tindakan Individu Tidak Upaya (ADPF) yang mengetuai pasukan pembedahan Hungary seramai 35 orang di Hospital Tentera Gabungan di sini.

Ketika ini, pasukan pembedahan itu mula menutup kawasan luka dengan tisu lembut yang  dibentuk menggunakan proses penumbuhan tisu dijalankan di Hungary terlebih

Bapa kanak-kanak itu, Rafiqul Islam meluahkan rasa lega dan bersyukur dengan pembedahan itu.

Dia yang merupakan seorang guru dari daerah luar bandar barat laut di Padna memuji doktor berkenaan dan berharap anaknya dapat pulih sepenuhnya serta membesar dalam keadaan sihat dan normal.

Sebelum pembedahan, doktor mengatakan hanya ada 50 peratus peluang kembar berkenaan hidup.

“Doktor sudah memisahkan anak saya di hadapan saya mata sendiri,” kata Rafiqul. – MalaysiaGazette