Logo PUNB

KUALA LUMPUR – Usahawan di seluruh negara dinasihatkan supaya tidak terkeliru dengan sebuah koperasi yang menggunakan akronim Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dalam menawarkan pembiayaan kewangan peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Izwan Zainuddin berkata, operasi perniagaan PUNB tertumpu kepada penawaran pakej keusahawanan bersepadu yang dirangka khusus membantu usahawan Bumiputera memantapkan perniagaan, mengekalkan keuntungan dan membentuk perniagaan mereka ke arah kecemerlangan.

“PUNB tidak menyediakan sebarang pembiayaan peribadi. Kami adalah entiti yang berbeza.

“PUNB mengurus sendiri semua urusan pembiayaan kewangannya tanpa menggunakan ejen, perkhidmatan perantaraan atau orang tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PUNB adalah badan keusahawanan yang ditubuhkan pada 17 Julai 1991 sebagai peneraju dalam meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan Bumiputera yang terlibat dalam bidang ekonomi strategik melalui sokongan kewangan dan perniagaan. – MalaysiaGazette