Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempersoalkan sikap berdiam diri tiga ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini begitu lantang mendesak kerajaan menutup operasi syarikat nadir bumi, Lynas Corp.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, walaupun dua ahli Parlimen terbabit sudah menjadi kerajaan dan menteri Kabinet, namun tangisan mereka sebelum ini dipertikaikan sama benar-benar ikhlas kerana rakyat atau semata-mata mahu meraih undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Dulu ada ahli parlimen yang menangis teresak-esak mendesak agar kerajaan tutup dan hentikan operasi Lynas.

“Jadi rakyat tertanya-tanya, adakah tangisan tersebut adalah satu tangisan ikhlas untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat atau hanya tangisan untuk menagih undi pilihan raya?

“Kalau betul-betul ikhlas, sepatutnya Lynas sudah tutup hari ini. Tetapi kalau tangisan itu hanyalah tangisan tagih undi, memang rakyat sudah kena tipu. Kita harap rakyat dapat penjelasan yang betul dan tidak ditipu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen DAP-Bentong, Wong Tack dan Ahli Parlimen PKR-Kuantan, Fuziah Salleh perlu bertanggungjawab ke atas operasi Lynas yang masih berterusan hingga kini.

Bekas Perdana Menteri itu juga mempersoalkan ke mana hilangnya maruah ahli Parlimen PH terbabit dalam isu operasi Lynas dan mereka katanya sepatutnya meletakkan jawatan kerana gagal menunaikan janji kepada rakyat Kuantan.

Menurut Najib, tindakan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing itu adalah langkah yang sewajarnya dilakukan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast