JEDDAH – Seorang wartawan wanita muda dari Algeria tidak percaya kuatnya tarikan Tanah Suci menjadikan dirinya sanggup berkelana seorang diri ke Arab Saudi.
Hafsah Abubakar, 24, mengakui pada mulanya gementar apabila diarahkan majikannya menjadi wakil media membuat liputan haji atas jemputan Kementerian Media Arab Saudi.
Walaupun baru menjadi wartawan di meja luar negara di Daily Trust di Abuja dan tidak pernah terbang ke mana-mana negara luar – dia bertekad menerimanya.
Kesibukannya membuat persiapan untuk melangsungkan perkahwinann selepas Hari Raya Aidil Adha juga tidak menghalang keterujaan anak sulung daripada tiga beradik itu untuk meneruskan tekadnya ke Arab Saudi.
“Saya gementar apabila mengetahui saya seorang sahaja wakil media wanita namun tarikan haji dan Tanah Suci mengatasi segala-galanya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru- baru ini.
Ternyata faktor jantina tidak membataskan pergerakannya selagi tidak melanggar syariah. Hafsah memberanikan diri menyertai rombongan wakil media menunaikan umrah pada waktu malam selepas menyelesaikan tugasan semasa di Jeddah.
“Ia umrah saya yang pertama dan saya begitu sebak apabila kali pertama melihat Kaabah dan berasa puas walaupun sampai kembali ke hotel ke Jeddah pukul 2.30 pagi dan keesokan hari kembali mengikuti tugasan,” katanya.
Hafsah salah seorang daripada sekumpulan 30 wakil media daripada hampir 13 negara Islam terpilih mengikuti program persiapan haji 2019 anjuran Kementerian Media Arab Saudi tahun ini.
Selain wakil media Arab Saudi, wakil media dari Malaysia, Mesir, Indonesia, Pakistan, Afghanistan, Sudan, Nigeria, Turki, Tunisia, Dubai, India, Iran dan Iraq.
Bagaimanapun selepas menjadi wakil tunggal media wanita bermula 31 Julai akhirnya seorang lagi wakil media wanita lain dari Iraq, Nagham Al Tamimi yang turut menyertai kumpulan yang sama.
Kini Hafsah sudah ada teman untuk mengerjakan haji tidak lama lagi.- MalaysiaGazette