Rakaman kamera litar tertutup yang ditempatkan di setiap ceruk kawasan Masjidil Haram membolehkan kawalan keselamatan dibuat dengan begitu teliti oleh para pengawal. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

MEKAH – Sebarang aktiviti mencurigakan di Masjidil Haram di sini bukan sahaja dipantau oleh pasukan keselamatan tetapi setiap inci masjid suci itu diawasi oleh 2,150 kamera litar tertutup (CCTV).

Kita biasa melihat mereka mengawal Kaabah terutama sudut terletaknya Hajarul Aswad daripada diserbu orang ramai dan di setiap pintu masuk. Namun kawalan bukan sekadar itu sahaja.

MGF06082019_Bilik Kawalan CCTV_05
Komander Pusat Kawalan Bawah Tanah Masjid Haram, Mohamad Bilal bercakap kepada media ketika tinjauan Malaysia Gazette di bilik kawalan bawah tanah Masjidul Haram di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

Komandan Pasukan Keselamatan Masjidil Haram, Kolonel Mohamad Bilal berkata, tidak ada seorang pun yang berada sekitar kawasan terletak Rumah Allah itu tidak dipantau CCTV.

“Malah jika ada berlaku sesuatu rakaman CCTV ini akan jadi bukti untuk kami mengambil tindakan terus menghantar kepada Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Sebarang kejadian dalam lingkungan 20 meter akan cepat ditangani oleh pasukan bertugas selepas dimaklumkan oleh pusat operasi ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada wakil-wakil media dari negara Islam yang dibawa melawat bilik operasi 24 jam yang terletak di bawah tanah Masjidil Haram semalam.

Setiap kes yang berlaku pula akan dijadikan kajian bagi mengelak ia berulang pada masa depan.

MGF06082019_Bilik Kawalan CCTV_09
Para petugas memantau pergerakan jemaah haji di Masjidil Haram selama 24 jam di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

Menurut Mohamad, selain menangani ancaman, CCTV yang sama juga digunakan membantu jemaah haji yang tersesat dan mengesan barang yang hilang.

Melalui cara yang sama, menurutnya, memudahkan proses pihaknya menyusun ratusan ribu jemaah haji yang bertawaf dan beribadah.

“Ketika waktu solat, kami akan memastikan ruang di dalam masjid tidak ada jemaah yang tidur dan tidak menghalang laluan,” katanya.

Mohamad juga menganggarkan kira-kira 700,000 jemaah haji melakukan tawaf setiap hari sepanjang musim haji ini.

Selain itu, antara cabaran pihaknya pada Jumaat ini adalah mengatur proses jemaah haji yang mulai keluar dari masjid dan menuju ke Mina dan Arafah.

MGF06082019_Bilik Kawalan CCTV_07
Para petugas bilik kawalan fokus memerhati setiap pergerakan jemaah haji di Masjidul Haram selama 24 jam di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

Proses itu memastikan kira-kira 1.5 juta jemaah keluar sebelah pagi dan separuh lagi selepas usai solat Jumaat.

“Kami akan menggunakan pelan strategik sama ada jemaah berjalan kaki atau menaiki kenderaan,” katanya sambil menambah jumlah bilangan kakitangannya sentiasa ditambah sekiranya diperlukan.

Ditanya masalah bahasa yang kadangkala menjadi penghalang, katanya, pasukannya yang berpengalaman biasanya mengetahui niat jemaah haji melalui bahasa badan mereka sahaja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast