Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Kes rayuan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang dipertuduhkan terhadapnya atas kesalahan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) di tangguhkan sehingga September depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid menetapkan 25 September tarikh perbicaraan.

Rafizi yang menulis di laman sosial Twitternya pagi tadi berharap keputusan itu akan berpihak kepada dirinya atau terpaksa berdepan dengan hukuman penjara dua tahun lima bulan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hakim membuat keputusan untuk menangguhkan dulu perbicaraan pada hari ini.

“Pagi ini rayuan kes BAFIA ekoran skandal NFC di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Setakat ini dlm semua kes lain bersabit NFC, mahkamah tidak berpihak kpd mereka.

“Doakan hakim mengambil pendirian sama dlm kes BAFIA ini juga. Hukuman penjara 2.5 tahun.,” tulisnya.

Tulis Rafizi lagi, sejak berkecimpung dalam dunia politik, dia telah berdepan dengan 14 kes mahkamah dan ini merupakan kes perundangan yang terakhirnya.

“Tinggal yang ini sahaja, kesalahan mendedahkan dokumen berkaitan skandal NFC yang jika sabit kesalahan boleh di penjara sehingga 2.5 tahun. Tolong doakan saya,” tulisnya.

Pada 20 April 2015, Rafizi dan Johari Mohamad memfailkan permohonan untuk mencabar akta tersebut dengan mengemukakan tiga isu antaranya sama ada pertuduhan terhadap mereka boleh diteruskan walaupun BAFIA telah dimansuhkan pada 2013 dan digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Johari merupakan bekas kerani yang dituduh bersubahat dengan Rafizi dalam dokumen penyata akaun NFC.

Pada 7 Februari tahun lalu, kedua-duanya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan dikenakan hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.

Rafizi, didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC itu dan juga akaun bank Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia disabitkan melakukan kesalahan itu di Ibu pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, Selangor pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette