Setiasuaha Agong Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Chin Sung Chew (tengah) bersama Setiausaha (NUJ) cawangan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar (kiri) dan Bendahari Pusat (NUJ), Baharuddin Yacoob (kanan) menunjukkan buku perjanjian Utusan Malaysia dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia pada sidang media mengenai nasib pekerja Utusan Melayu yang tidak dibayar gaji di Pejabat Kasatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia, Brickfields, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Ekoran tidak dibayar gaji melebihi dua bulan, sejumlah 769 kakitangan Utusan Melayu dilaporkan hidup dalam serba kekurangan dan tekanan.

Malah menurut Setiausaha Agung Kesatuan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew, disebabkan kesempitan wang, ada daripada kalangan ahli mereka di Utusan bertindak membuat pinjaman Ah Long bagi menampung hidup.

“Ahli kami kini berhutang keliling pinggang kerana tiada gaji untuk membayar pinjaman peribadi, rumah dan kenderaan. Malah ada juga yang berhutang Ah Long sampaikan bergadai bergolok barang kemas sendiri untuk memberikan makan anak-anak.

“Paling sedih, hendak mengisi petrol kenderaan untuk keluar bekerja pun sudah tidak mampu apatah lagi untuk melakukan tugasan membuat liputan. Lebih menyukarkan keadaan apabila terdapat pasangan suami isteri yang bekerja di Utusan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat NUJ, hari ini.

Bagaimanapun, NUJ tidak dapat memperincikan berapa bilangan kakitangan yang mengambil pinjaman Ah Long dan berapa jumlah pinjamannya.

MGF090819_SIDANG MEDIA NUJ07
Setiasuaha Agong Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia, Chin Sung Chew bercakap pada sidang media mengenai nasib pekerja Utusan Melayu yang tidak dibayar gaji di Pejabat Kasatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia, Brickfields, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2019

Menurut Sung Chew lagi, potongan gaji untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pinjaman bank, insuran, SOCSO, yuran bulanan NUJ, yuran koperasi dan potongan Tabung Haji juga dibuat namun tidak dicarum.

“Ada ahli kami yang terpaksa memberikan air sirap kepada anak kecil mereka untuk menggantikan susu yang sudah tidak mampu lagi berikutan ketiadaan yang mencukupi untuk berbuat demikan,” katanya lagi.

Mengikut NUJ, bayaran terakhir gaji yang diterima mereka adalah pada bulan Jun lalu untuk bukan eksekutif dan hanya RM2,000 bagi eksekutif untuk bulan yang sama.

Tambah Sung Chew, pihak majikan juga gagal memberikan penjelasan mengapa Utusan Melayu tidak mahu menjual aset berjumlah RM400 juta bagi membayar tunggakan gaji pekerja yang hanya sebanyak kira-kira RM5.3 juta sahaja.

Untuk rekod, kadar bayaran gaji tertunggak bagi pekerja eksekutif adalah sebanyak dua bulan manakala bagi bukan eksekutif, sebulan gaji.

Kemelut ini turut dipanjangkan kepada Pengerusi Eksekutif, Datuk Aziz Sheikh Fadzil.

Namun tiada sebarang maklum balas daripada beliau biarpun pihak NUJ Utusan telah bertanyakan secara peribadi menerusi WhatsApp.

Aziz dilaporkan sedang mengerjakan haji di Mekah.

“Mengikut perancangan Utusan, ada kaedah penstrukturan dan pemulihan di mana lakukan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), dan akan jual aset-aset yang ada berjumlah RM400 juta tapi proses itu kami tidak tahu apa masalahnya,” katanya lagi.

Langkah lain bagi mendesak pihak Utusan menjelaskan gaji yang tertunggak, pekerja Utusan merancang mengadakan piket pada 19 Ogos ini dihadapan pintu masuk syarikat surat khabar itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast