Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata nilai itu lebih tinggi berbanding jualan dana asing pada minggu sebelumnya bernilai RM13.6 juta bagi tempoh 23-26 Sept.

KUALA LUMPUR – FBM KLCI dijangka kekal melebihi paras 1,600 pada minggu depan susulan pasaran dilihat semakin stabil daripada kelemahan baru-baru ini, kata penganalisis.

Ketua penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata akan wujud ruang untuk aktiviti belian semasa harga rendah berikutan saham seperti teknologi dijangka bakal melonjakkan indeks utama pada minggu depan.

“Paras sokongan adalah pada 1,613, 1,609 dan 1,602. Semua ini menunjukkan pasaran cuba mencari asas dan akan kekal pada paras kira-kira 1,600 pada minggu depan.

“Perang perdagangan merupakan isu besar yang menjejaskan sektor teknologi dan sebarang harapan sama ada bagi perdamaian sementara atau akhirnya penyelesaian dicapai akan memanfaatkan sektor teknologi. Peluang terbesar bagi pembelian semasa harga rendah adalah dalam sektor teknologi,” katanya kepada Bernama.

Pong menambah wujud kecenderungan meningkat bagi sektor pembinaan yang merupakan penerima manfaat terbesar pada tahun ini setakat ini yang dipacu oleh penyambungan semula projek Transit Aliran Massa, Transit Aliran Ringan 3 dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Ini tidak semestinya mencerminkan sepenuhnya lagi dari segi pendapatan tetapi pada ketika ini, pelabur sedang memberi tumpuan kepada saham pembinaan selepas penyambungan semula kerja diumumkan, tetapi kerja sebenar seperti projek ECRL hanya disambung semula pada akhir Julai dan tidak akan dicerminkan dalam pendapatan buat masa ini,” katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, pasaran menikmati sedikit kelegaan berikutan FBM KLCI kembali pulih ke paras 1,600 selepas mengalami kerugian teruk selepas menjejaki prestasi di Wall Street pada pertengahan minggu. Pemulihan itu juga selaras dengan prestasi terbaik di Wall Street dalam tempoh dua bulan dan tanda-tanda muhibah daripada China dalam penetapan mata wangnya dan pengeluaran eksport yang menggalakkan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan menjangkakan aliran meningkat dalam jangka terdekat ke arah paras rintangan 1,650. dan menurutnya ini akan menyediakan peluang untuk saham dengan asas kukuh untuk mencatatkan satu lagi pusingan aliran meningkat.

“Kami menjangkakan sentimen pasaran tempatan akan bertambah baik berikutan jangkaan aliran masuk asing lebih tinggi selepas Malaysia menyatakan ia akan menetapkan saluran kepada China untuk memudahkan aliran dana ke dalam negara. Langkah itu akan menyaksikan pelaburan langsung asing dalam pembuatan dari China berganda kepada kira-kira RM8.8 bilion daripada RM4.4 bilion pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Pada Julai, rizab antarabangsa Malaysia meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada US$1.2 bilion dan kekal pada aliran meningkat bagi tempoh dua bulan berturut-turut.

Nazri Khan menjangkakan permintaan kukuh bagi sektor telekomunikasi dan pengangkutan dengan Telekom Malaysia Bhd dan Kerjaya Prospek Group Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor masing-masing.

“Pelabur yang mahu mengambil risiko rendah dinasihatkan untuk mengelak saham yang lebih banyak terdedah kepada pasaran global,” katanya.

Bursa Malaysia dan subsidiarinya akan ditutup pada Isnin, 12 Ogos yang merupakan cuti ganti bersempena Aidiladha yang disambut pada Ahad, 11 Ogos, dan akan beroperasi semula pada Selasa.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 11.71 mata kepada 1,615.05 daripada 1,626.76 minggu lepas.

Dagangan pada minggu ini amat dipengaruhi prestasi Wall Street dan rundingan antara AS dan China berhubung pertikaian perdagangan mereka.

Indeks FBM Emas merosot 76.46 mata kepada 11,440.33, Indeks FBMT 100 turun 72.13 mata kepada 11,272.87 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 0.05 mata kepada 11,926.57.

FBM 70 turun 51.85 mata kepada 14,304.37 dan Indeks FBM Ace menokok 8.3 mata kepada 4,697.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 122.88 mata kepada 15,841.99, Indeks Perladangan naik 38.24 mata kepada 6,727.41 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.58 mata kepada 152.64.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.45 bilion unit bernilai RM10.11 bilion berbanding 10.06 bilion unit bernilai RM8.25 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 7.64 bilion saham bernilai RM9.19 bilion daripada 6.40 bilion saham bernilai RM7.55 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.41 bilion unit bernilai RM596.71 juta berbanding 1.92 bilion unit bernilai RM416.16 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.40 bilion saham bernilai RM318.84 juta daripada 1.72 bilion saham bernilai RM264.95 bilion minggu lepas.

— BERNAMA