Bersama EZ Qurban di KLIA.

Salam Aidil Adha. Saya kini berada jauh dari tanah air, lebih tepat di Republik Burundi, Afrika.

Burundi adalah negara ‘tanpa laut’ yang terletak di kawasan tasik-tasik besar di timur Afrika.

Negara ini terletak bersempadan dengan Rwanda di bahagian utara, Tanzania (selatan dan timur) serta Republik Demokratik Congo (barat). Negara ini juga dianggap sebahagian daripada Afrika Tengah.

Sempadan barat daya negara ini adalah bersebelahan dengan Tasik Tanganyika, di mana terletaknya ibu negara mereka iaitu Bujumbura.

ez2

Mengapa saya berada di sini?

Ini kerana saya dijemput oleh syarikat EZ Qurban Sdn Bhd untuk bersama-sama mereka melakukan ibadah korban di negara terpilih dan Burundi antara salah sebuah daripadanya.

Sejak ditubuhkan pada April 2007, EZ Qurban sudah menerjah ke 34 negara di dunia membabitkan negara bergolak, minoriti Islam dan menempatkan pelarian dalam melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan rakyat Malaysia kepada mereka.

Untuk rekod, negara pelaksanaan ibadah korban termasuk Kemboja, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Laos, Thailand, India, Myanmar, Chad, Ivory Coast, Kenya, Malawi, Mali, Morocco, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Uzbekistan, Congo, Burkina Faso, Rwanda, Burundi, Nigeria, Ethiopia, Pakistan, Somaliland, Sudan, Yaman, Kyrgyzstan, Nepal dan Ghana.

ez4
Penulis bersama kanak-kanak di Burundi.

Setiap tahun syarikat akan memastikan setiap amanah diberikan rakyat Malaysia disampaikan secara langsung kepada penerima di mana petugas EZ Qurban akan diterbangkan ke negara terpilih untuk menyaksikan sendiri proses penyembelihan dan agihan dilakukan.

Biarpun ada wakil EZ Qurban di setiap negara terpilih itu, petugas dari Malaysia juga dihantar bagi memantau pelaksanaan berkenaan.

Sejak 2007 hingga tahun lalu, sebanyak 33, 862 lembu dan 8,423 kambing diagihkan di negara terpilih berkenaan.

Bagi program korban pada tahun ini, rekod kita sehingga Julai mendapati sebanyak 12,388 peserta sudah berdaftar membabitkan 3,000 lembu dan 700 kambing akan diagihkan ke negara terpilih.

ez3
Penulis tiba di Burundi selepas menempuh perjalanan melebihi 20 jam.

Berbalik kepada Burundi, saya memulakan perjalanan dari KLIA dan terus terbang menggunakan perkhidmatan Ethiopian Airlines ke Addis Ababa. Perjalanan mengambil masa kira-kira sembilan jam.

Sesampainya saya di sana, saya bertukar pula penerbangan ke ibu negara Burundi, Bujumbura. Malang sekali penerbangan selama dua jam itu tergendala hampir lapan jam disebabkan masalah teknikal pesawat.

Akhirnya selepas hampir 20 jam lamanya, baru saya dapat menjejakkan kaki ke Burundi. Penat dan letih dah tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kini saya hanya nampak bantal dan kelambu (hotel saya lengkap dengan kelambu ye hehehe).

Jumpa esok! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast