Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat di negara ini yang dilihat semakin rapuh berpunca daripada sikap pemimpin yang agak keterlaluan pada hari ini.

Pakatan Harapan meskipun sudah menjadi sebuah kerajaan masih gagal mengubah sikap pemimpinnya yang menggunakan pendekatan tidak sesuai dalam menyuarakan bantahan dan ketidakpuasan hati khusus berkaitan dengan sensitiviti perkauman dan keagamaan.

Itu pemerhatian  Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau berkata, pemimpin perlu bijak menggunakan peluang dan medium yang betul menyuarakan pendapat secara berhemah, kerana pada akhirnya ia akan dilihat dan  menjadi ikutan rakyat yang sedang memerhati.

“Pemimpin kerajaan sekarang masih terbawa sikap pembangkang yang dahulu. Tidak sepatutnya, sepatutnya beliau harus lebih cerdik. Kalau bantah sesuatu, ada cara yang lebih berhemah.

“Ada yang samakan tulisan Jawi dengan tahi lembu, ada yang tukar jalur gemilang. Kesopanan awam itu perlu, kesantunan awam perlu sebagai pemimpin harus ada budi bahasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Meskipun dulu sudah ada masalah perpaduan namun kini disifatkan Teo sebagai lebih memburuk meskipun tidak lama lagi negara bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan  yang ke-62. Ia terlihat apabila kerajaan sering menafikan masalah utama yang dihadapi negara.

Kerajaan, sebaliknya kata beliau perlu mengakui gagal membina negara dalam masa yang sama tidak malu mengakui bahawa negara sedang berhadapan masalah perpaduan  dan kurangnya kepercayaan antara kaum dalam kalangan rakyat.

Dengan pengakuan tanpa segan dan menipu diri tambah Teo barulah masalah perpaduan akan dapat diperbaiki.

“Kita alami defisit kepercayaan antara kaum. Tiada kepercayaan antara orang Melayu, Cina dan India. Ini masalah besar untuk negara, jadi banyak yang dibuat tidak dapat sambutan sebab inilah.

“Kita semua kena insaf, sedar. Para pemimpin pun cuba nafikan dan cuba gambarkan kita bersatu-padu, namun sememangnya kita ada masalah.

“Mesti ada usaha untuk selesaikan masalah kalau tidak, negara tidak ada hala tuju yang dikongsi bersama, gagal pembentungan negara. Kita kena akui kita gagal menyatu-padukan dan kena tumpu pembinaan semula negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette