Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad diminta berundur sebagai perdana menteri kerana beliau sudah hilang punca dan daya untuk menghadapi kritikan-kritikan daripada pelbagai pihak terutama dari Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sehingga menuduh Dong Zong rasis.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga didakwa sudah tidak dapat menangani banyak isu dalam negara sekarang.

Lantaran itu, demi menyelamatkan kerajaan PH dan mengelakkan perpecahan dalam gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi, Dr Mahathir yang berjiwa besar segera berundur.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membuat gesaan itu berkata, beliau tidak mahu apa yang berlaku pada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat sebelum ini berulang lagi.

Katanya, pada tahun 1996 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, Parti Semangat 46 menjadi semakin ektrem Melayu dengan mengubah menjadi Parti Melayu Semangat 46, maka Gagasan Rakyat iaitu Gabungan Parti-Parti Pembangkang yang terdiri daripada Parti Melayu Semangat 46, DAP, PRM dan IPF gagal menangani isu-isu perkauman, lalu menjelang Pilihan Raya Negeri  (PRN) Sarawak, Gagasan Rakyat pecah dan terkubur.

Selepas PRU-11 pada tahun 2004, Barisan Alternatif yang terdiri daripada Pas, DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM sekali lagi pecah dan terkubur menjelang PRN Sarawak apabila Pas dan DAP berbalah secara terbuka dalam isu-isu melibatkan kaum dan agama.

Tambahnya, selepas bebas dari penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelajah ke seluruh tanahair untuk membina gabungan parti-parti pembangkang dalam menghadapi PRU-12 pada tahun 2008 dan membina asas Pakatan Rakyat dan buat pertama kali, Barisan Nasional (BN) hilang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Kelantan.

Ketika itu, katanya, Anwar muncul sebagai tenaga yang menyatukan parti-parti pembangkang pelbagai kaum dan agama itu.

Sekali lagi dalam PRU-13 Anwar menjadi tenaga penggerak membina Gabungan Pakatan Rakyat untuk tujuan mengambil alih Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Walaupun Pakatan Rakyat gagal mencapai tujuan itu tetapi buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, BN hilang majoriti dua per tiga di Parlimen.

Anwar dilihat sebagai ancaman kepada BN, lalu konspirasi politik jahat dilancarkan untuk menyerang Anwar sehingga beliau dipenjarakan selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Hassan berkata, selepas Anwar dipenjarakan, sikap Pas semakin ekstrem dalam isu-isu berkaitan kaum dan agama, akibatnya Pakatan Rakyat juga pecah menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan berasingan dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat  yang turut menandatangani surat yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk dilantik menjadi Perdana Menteri sebaik sahaja PH memenangi cukup majoriti untuk membentuk kerajaan selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018, saya berpendapat masa sudah sampai untuk Tun Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai Perdana Menteri.

“Kini isu 3 R (race,religion dan royalty) muncul kembali di persada politik Malaysia, iaitu isu kaum, agama dan raja. Yang terkini dilihat Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan sudah seperti hilang punca dan hilang daya untuk menghadapi kritikan-kritikan dari pelbagai pihak terutama dari Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sehingga menuduh Dong Zong sebagai pertubuhan rasis atau perkauman,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hassan mendakwa gesaan itu dibuat kerana tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan PH.

“Saya berharap dan memohon supaya Tun Dr Mahathir yang berjiwa besar mengambil langkah yang berani seperti Sir Winston Churchil, Perdana Menteri British yang berundur selepas berjaya membawa Britain dan Pihak Berikat memenangi Perang Dunia Kedua mengalahkan Kuasa Paksi Fasis Jerman dan Jepun dan menyerahkan kuasa Perdana menteri kepada pemimpin yang lain,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Dr Mahathir akan tetap dikenang dan dihormati kerana telah berjaya memimpin PH menumbangkan BN dalam PRU-14 dan membentuk kerajaan baru melalui proses peralihan kuasa dengan aman dan teratur.

“Tetapi perkembangan terkini dalam tanahair dengan munculnya isu-isu yang banyak untuk memecahbelahkan rakyat, maka sudah sampai masanya proses peralihan jawatan perdana menteri kepada Anwar dilaksanakan dengan segera sekarang ini sekiranya kerajaan PH hendak diselamatkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. apa kena mengena pulak dengan mahadir. siapa pun jadi pm perkara resis ini tetap berlaku juga. tak payah lah merasa diri cerdik sangat dapat menduga masa depan.

Comments are closed.