KUALA LUMPUR – Pelakon Fizo Omar mengakui perjalanannya menunaikan haji telah memberi keinsafan dan berharap dapat dijemput menjadi tetamu Allah SWT sekali lagi.

Pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar memberitahu, pengalaman terindahnya menunaikan rukun Islam kelima itu apabila bermalam di Muzdalifah.

“Bermalam di Muzdalifah antara satu perjalanan haji yang tidak dapat aku lupakan dan memberi kesan mendalam dalam kehidupan aku.

“Bak kata ulama suasana ini diibaratkan seakan-akan padang Mahsyar nanti, beginilah keadaan kita semua menanti saat dipanggil dan dihitung amalan duniawi kita,” katanya di Instagram miliknya yang turut memaparkan video suasana di Muzdalifah.

Muzdalifah adalah satu kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi.

Para jemaah Haji diminta berada dan bermalam di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari terbit fajar Hari Raya Aidiladha tanggal 10 Zulhijjah sehingga waktu terbit matahari Hari Raya tersebut.

Fizo, 34, turut menyeru menyeru umat Islam yang berkemampuan supaya menunaikan ibadah haji dan melihat kebesaran Allah SWT.

“Wahai sahabat sekalian, pasanglah niat untuk ke sini dan rasailah apa yang aku dah lalui.

“Kalau sudah mampu tidak perlu ditanggung lagi kerana ia bukan sahaja menjalankan rukun, tapi kepada aku pengalaman sebuah perjalanan mengenali diri sendiri dan mengenal kebesaran Sang Pencipta,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast