Antara logo Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUANTAN – Seorang penganggur yang disahkan positif dadah ditahan selepas dipercayai mengelar leher bapanya yang lumpuh di rumah mereka di Kampung Chendor Baru di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, lelaki berusia 33 tahun ditahan semasa sedang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran rumah itu selepas menyedari kehadiran polis.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi semasa mangsa yang berusia 62 tahun dan lumpuh sebelah kanan badan sejak lima tahun lalu, ditinggalkan bersama suspek serta abang suspek semasa ibu mereka bekerja.

“Ibu suspek mendakwa telah menerima panggilan daripada abang suspek memaklumkan mangsa dikelar dengan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan luka sepanjang 13 sentimeter.

“Abang suspek memberitahu semasa kejadian, dia berada di bilik dan hanya menyedarinya selepas melihat suspek keluar rumah secara tergesa-gesa,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Othman berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman, Terengganu dan dilaporkan stabil.

“Setakat ini kami masih mengesan senjata yang digunakan suspek. Semakan mendapati suspek juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penagihan dadah,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.