Koleksi setem gua yang akan mula dijual esok.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal mengeluarkan siri setem bertemakan gua bertajuk “Gua di Malaysia”.

Antara gua-gua terkenal yang akan dipaparkan dalam siri ini termasuklah Gua Niah di Sarawak iaitu gua terbesar di
Malaysia dan merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di dunia.

Set setem ini akan dikeluarkan esok.

“Tidak ramai yang tahu bahawa kebanyakan penemuan arkeologi dan paleontologi yang terpenting di dunia ditemukan di gua-gua di seluruh dunia. Manusia prasejarah menggunakan gua untuk pelbagai tujuan termasuk tempat perlindungan, upacara dan tapak pengebumian.

“Sehubungan itu, kami berharap agar penerbitan siri setem ini akan dapat mengetengahkan kepentingan gua kepada orang awam serta mempromosikan sektor ekopelancongan negara,” kata Syed Md Najib Syed Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

Tiga gua penting yang akan turut terbabit dalam siri ini termasuklah Gua Gomantong di Sabah yang dikenal pasti sebagai habitat kepada dua spesies burung layang-layang yang terkenal, Gua Tempurung di Perak, salah satu gua terbesar dan terpanjang di Semenanjung Malaysia serta Gua Kelam di Perlis yang kaya dengan bijih timah berkualiti.

Koleksi setem ini akan dikeluarkan bersama tiga setem pos yang menggambarkan ilustrasi Gua Tempurung, Gua Kelam dan Gua Gomantong.

Setiap setem juga akan menampilkan ilustrasi sekunder berbentuk hidupan liar yang biasa ditemui di gua
seperti Ikan Seluang, Lipan Gua dan Burung Layang-layang.

Ketiga-tiga setem tersebut didatangkan dalam denominasi 60 sen dan dicetak dalam kuantiti terhad sebanyak 200,000 keping setiap setem.

Di samping itu, kehebatan Gua Niah terletak pada kepentingannya sebagai tapak prasejarah di mana fosil manusia dari 40,000 tahun yang lalu telah dijumpai, menjadikannya penempatan manusia tertua di Malaysia Timur.

Atas sebab ini, Gua Niah akan dipaparkan dalam Lembaran Mini (MS). MS dilengkapi dengan ciri khas iaitu potongan terap di sepanjang garis bentuk pintu masuk gua. Lembaran Mini ini boleh dibeli pada harga RM5.

Pada masa yang sama, tanda pembatalan direka khas berbentuk struktur gua iaitu stalaktit dan stalagmit sesuai dengan tema isu ini. Produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dan Folder masing-masing berharga 50 sen dan RM6.

Bagi mereka yang ingin memiliki set lengkap siri “Gua di Malaysia” ini, ia boleh didapatkan pada harga RM54.80 setiap set yang mana ia mengandungi tiga helai lembaran setem, brosur penerangan, MS, FDC dengan setem, FDC dengan MS dan
Folder.

Siri Setem ini boleh didapatkan di Pejabat Pos Besar dan pejabat pos terpilih di seluruh negara atau secara dalam talian di eziemall.com di bawah pautan “Stamps & Collectibles”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast