PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau ada menyatakan kepada Kabinet tentang cadangan untuk melakukan sedikit pertukaran portfolio di kalangan anggotanya.
Menafikan laporan akan berlakunya rombakan Kabinet pada bila-bila masa, Dr Mahathir berkata beliau ada memikirkan untuk melakukan pertukaran portfolio cuma belum berbuat demikian.
“Belum lagi lah, kalau ada saya bagi tahu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perjumpaan pegawai-pegawai kerajaan bersama Perdana Menteri sesi kedua 2019, di sini hari ini.
Ditanya sama ada Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed akan dibawa menyertai Kabinet, Dr Mahathir berkata : “Tiada menteri baharu.”
Ditanya sama ada terdapat permintaan daripada anggota Kabinet untuk bertukar portfolio, Dr Mahathir berkata tiada permintaan sebegitu.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinetnya, beliau berkata: “Saya rasa mereka mempunyai pengalaman lebih dari setahun dan mereka kini lebih berkeupayaan berbanding semasa mula dahulu.”
Menurut beberapa laporan media hari ini, rombakan Kabinet dijangka berlaku pada bila-bila masa dan beberapa nama pemimpin, antaranya Mustapa, disebut-sebut akan menerajui kementerian dan portfolio baharu.
— BERNAMA