Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar penganjur ‘Say No To Zakir Naik’ untuk tidak meneruskan perhimpunan.

Menurut beliau, perhimpunan itu tidak perlu kerana penceramah kontroversi itu telah pun disekat daripada memberikan sebarang ceramah di negara ini.

“Saya menggesa penganjur himpunan ‘Say No to Zakir Naik’ serta beberapa himpunan lain untuk menghentikan penganjuran kerana keadaan sudah reda dan tiada keperluan untuk melakukannya.

“Zakir Naik juga sudah dilarang untuk berceramah diseluruh negara oleh pihak polis maka meneruskan bantahan tersebut hanya akan meningkat serta memanaskan suhu politik negara sekali gus mengundang pelbagai reaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar sebelum ini berkata, Zakir sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana mengekalkan status penduduk tetap (PR) miliknya yang diberikan oleh pentadbiran lalu.

Zakir tambah beliau sewajarnya menghargai usaha kerajaan yang melindunginya daripada Kerajaan India, bukan menimbulkan masalah kepada Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Malaysia.

“Patut dia berterima kasih (pada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad). Bagi sepatah dua kata, ‘Tun saya berterima kasih kerana beri perlindungan dan jaminan keselamatan dan minta maaf tak akan ulangi’.

“Ini tidak, dia jadi masalah pada kita. Kita sudah tolong, tapi dia bagi masalah pula pada kita,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Presiden PKR ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races’, itu akan diadakan esok di Brickfields pada jam 2 petang.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil dan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races’ yang dijadual berlangsung esok dan Sabtu di Brickfields.

Ini susulan penganjur kedua-dua himpunan itu, gagal mengemukakan notis pemakluman yang lengkap kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, polis telah menerima notis pemakluman daripada kedua-dua penganjur himpunan berkenaan mengikut seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam pada itu, Anwar menasihat agar rakyat di negara ini tidak terpengaruh dengan penganjuran itu.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette