Antara dokumen yang dibawa ke perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membelanjakan RM3.3 juta untuk membeli hadiah buat bekas Perdana Menteri Qatar.

Perkara itu dibangkitkan oleh salah seorang peguamnya, Farhan Read semasa pemeriksaan balas terhadap Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain.

Katanya, berdasarkan transaksi kad kredit bekas Perdana Menteri pada 8 Ogos 2014, hadiah tersebut dibeli di sebuah butik barang kemas Swiss De Grisogono.

Jelas Farhan pemberian hadiah itu merupakan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Qatar.

Menguatkan penjelasan tersebut, peguam itu melampirkan dokumen salinan surat penghargaan daripada isteri bekas Perdana Menteri negara itu kepada Datin Rosmah Mansor.

Namun Rosli ketika menjawab persoalan tersebut memberitahu, beliau tidak maklum tentang kewujudan surat tersebut sebaliknya hanya  mengetahui mengenai perbelanjaan itu menerusi kenyataan Najib kepada SPRM sebelum ini.

“Itu dakwaan beliau (Najib) semasa memberi keterangan. Saya perlu lihat surat itu dahulu, sebelum ini Datin Seri Rosmah tidak menyebut tentang itu,” kata saksi terakhir itu kepada Mahkamah Tinggi.

Rosli terdahulu mendakwa Najib semasa memberi keterangan kepada SPRM membelanjakan lebih RM3 juta untuk membeli hadiah kepada pemimpin sebuah negara.

Rosli juga mengesahkan Najib membelanjakan RM84 juta untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan untuk kegunaan aktiviti politik pada tahun 2015. -MalaysiaGazette