Suasana di kantin sekolah yang dipenuhi dengan murid tahun 1 dan ibubapa ketika waktu rehat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia dijangka membelanjakan sekitar RM1.6 billion untuk projek sarapan percuma bagi 2.7 juta pelajar sekolah rendah seluruh negara mulai Januari 2020.

Sekali fikir tentulah projek ini sangat baik. Apa salahnya anak-anak disediakan makanan sarapan percuma sebelum mereka memulakan pembelajaran.

Itu sekali fikir. Tetapi bila difikirkan beberapa kali ada beberapa isu yang harus difahami.

Ini bukan soal samada keputusan itu salah atau betul. Ini soal antara keputusan yang baik dan keputusan yang bijaksana.

Kita kena jawab soalan paling asas. Kumpulan pelajar manakah yang sebenarnya sangat perlukan sarapan percuma ini?

Adakah semua 2.7 juta pelajar sekolah rendah atau kumpulan pelajar tertentu sahaja?

Kita sediamaklum sebahagian besar pelajar akan mengambil sarapan di rumah. Ibubapa akan sediakan sarapan untuk anak-anak mereka. Itu amalannya.

Tiada ibubapa yang merungut untuk sediakan sarapan untuk anak sendiri.

Setiap ibu sudah membayangkan apakah sarapan untuk anaknya esok pagi sebelum mereka tidur malamnya.

Tetapi memang ada sebahagian kecil ibubapa yang tidak mampu atau tidak sempat menyediakan sarapan untuk anak anak mereka.

Pelajar dari kumpulan B40 dan keluarga miskin memang perlu dibantu.

Memang ada di kalangan anak-anak keluarga miskin yang tidak bersarapan bila ke sekolah.

Puncanya kemiskinan. Jadi program sarapan percuma di sekolah sangat baik.

Ada juga ibubapa yang bekerja shif malam atau mula keluar bekerja seawal jam 4 pagi. Mereka tidak sempat sediakan sarapan untuk anak-anak mereka di waktu pagi. Jadi anak-anak mereka juga perlu diberikan sarapan percuma. Eloklah dibantu.

Tetapi ramai ibubapa yang lain tidak perlu kepada program sarapan percuma ini untuk anak-anak mereka.

Malah dalam banyak keluarga, masa sarapan adalah masa berkualiti untuk interaksi keluarga sebelum masing masing sibuk dengan urusan seharian.

Selepas bersarapan bersama-sama, ibubapa akan ke tempat kerja dan anak-anak pula ke sekolah.

Mungkin lewat petang atau sebelah malam nanti baru mereka akan berinteraksi lagi semasa makan malam.

Bagi kumpulan ini, jika masih disediakan juga sarapan percuma pasti akan berlaku pembaziran makanan yang berskala besar di seluruh negara pada setiap hari.

Secara mudahnya dari 1.6 billion itu, sewajarnya RM600 juta sahaja digunakan untuk program sarapan percuma khusus untuk kumpulan B40 dan berkeperluan khas. Oleh itu masih ada RM1 billion baki dari peruntukan tersebut.

Jika tidak semua pelajar perlukan sarapan percuma, apakah untuk baki RM1 billion ini ada keperluan kritikal pendidikan yang lain?

Jawapnya memang ada. Sekolah kita masih berhadapan isu bilik darjah sesak dengan pelajar.

Kerana terlalu sesak, pembelajaran menjadi terganggu dan fokus akan hilang kerana rimas dan panas.

Banyak kajian mendapati pelajar cepat hilang motivasi bila belajar dalam keadaan yang tidak kondusif. Pembelajaran yang berkesan sangat dipengaruhi oleh persekitaran.

Persekolahan di negara ini memang pelik. Ada standard persekolahan yang dibeza-bezakan.

Ada sekolah premier yang bilik darjah siap dipasang penghawa dingin, dalam kelas pula hanya ada 25 pelajar. Mereka belajar dalam keadaan yang cukup selesa.

Ada pula sekolah yang kelasnya daif, kipas angin pun rosak tidak dibaiki, kerusi meja pecah, dalam kelas pula sampai 45 pelajar dan ada yang lebih dari itu. Bagaimana anak-anak ini nak belajar dengan tenang?

Tapi ironinya, bila keputusan peperiksaan UPSR atau SPM diumumkan, sekolah-sekolah premier diberikan pujian melambung tinggi kononnya telah menunjukkan prestasi cemerlang.

Kalau kelas dah macam sardin, amalan dan strategi pengajaran yang lebih berpusat kepada pelajar pasti tidak dapat dijalankan. Bagaimana pelajar nak cemerlang?

Ramai guru berkata walaupun mereka telah diberikan latihan, bengkel dan kursus kaedah pengajaran yang berkesan tetapi mereka tidak dapat lakukan semua itu disebabkan kelas terlalu sesak dengan pelajar.

Akhirnya jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk meningkatkan kemahiran dan keberkesanan pengajaran guru dibazirkan begitu sahaja. Ada kemahiran tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Gunakan peruntukan RM 1 billion untuk tambah bilik darjah. Pastikan setiap kelas mempunyai maksimun 25 pelajar sahaja. Dengan baki RM1 billion, jika kos menambah setiap bilik darjah ialah RM20 ribu, KPM boleh menyediakan 50,000 bilik darjah tambahan.

Bilangan 50 ribu bilik darjah tambahan ini dapat menyuraikan kesesakan bilik darjah kerana seramai 1.25 juta pelajar (jika satu bilik darjah dimuatkan dengan 25 pelajar) akan dapat belajar di bilik darjah tambahan.

Sebenarnya bukan 1.25 juta pelajar sahaja dapat faedah kerana dengan sekali belanja bina bilik darjah baru, bertahun-tahun faedahnya untuk berjuta-juta pelajar.

Walaupun sarapan untuk semua pelajar adalah program yang baik, Bukankah membina tambahan bilik darjah adalah lebih wajar?

Ibubapa tentu sangat menghargai KPM dengan penyediaan bilik darjah yang lebih kondusif untuk anak-anak mereka berbanding pembaziran menyediakan sarapan percuma pada kumpulan pelajar yang belum tentu akan menjamahnya…- MalaysiaGazette