Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memperbaharui mandat Pasukan Tentera Sementera PBB di Lubnan (UNIFIL) bagi tempoh setahun lagi, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan badan dunia itu.

ANKARA – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memperbaharui mandat Pasukan Tentera Sementera PBB di Lubnan (UNIFIL) bagi tempoh setahun lagi, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan badan dunia itu.

Berbekalkan keputusan sebulat suara untuk menerima pakai resolusi itu, badan 15 anggota tersebut melanjutkan mandat UNIFIL sehingga 31 Ogos 2020 serta mengulangi gesaannnya agar Israel dan Lubnan menyokong gencatan senjata kekal dan penyelesaian jangka panjang, menurut PBB dalam kenyataan itu.

Sambil menegaskan peranan positif yang dimainkan UNIFIL, majlis itu meminta kerajaan Lubnan memudahkan akses misi tersebut di negara berkenaan.

Majlis itu turut menyelar semua bentuk pencabulan udara dan darat di Garisan Biru serta menggesa semua pihak agar “menghormati langkah menghentikan tindakan permusuhan bagi mencegah sebarang pencabulan di Garisan Biru selain menghormatinya secara keseluruhan dan bekerjasama sepenuhnya dengan PBB serta UNIFIL.”

Garisan Biru sepanjang 120 kilometer (75 batu) adalah sempadan yang dipelopori PBB serta diwujudkan pada 2000 antara Israel dan Lubnan.

“Majlis itu turut menggesa kerajaan Israel mempercepat pengunduran tenteranya dari utara (kampung) Ghajar tanpa penangguhan lanjut di bawah penyelarasan UNIFIL,” katanya.

UNIFIL adalah sebuah pasukan pengaman multinasional yang dihantar ke selatan Lubnan sejak 1978. Objektif utamanya ialah untuk mengekalkan keselamatan di rantau itu dan memantau perjanjian bagi menghentikan permusuhan.

Susulan konflik 2006 antara Israel dan kumpulan Hezbollah Lubnan, UNIFIL ditugaskan untuk memastikan pelaksanaan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang menggesa gencatan senjata antara pihak yang berperang serta pengunduran Israel dari selatan Lubnan.

— BERNAMA