Suasana di Dataran Putrajaya.

PUTRAJAYA – Suasana di Dataran Putrajaya di sini mula dibanjiri rakyat pelbagai kaum dari seluruh pelosok negara yang ingin bersama-sama menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara yang ke-62.

Kerusi-kerusi awam telah dipenuhi sejak pukul 5.30 pagi tadi.

Bukan sahaja di situ, di tepi-tepi jalan orang awam mula berkumpul bagi mengelak tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

Beberapa jalan juga telah ditutup bermula pukul 6 pagi tadi.

Istimewanya Hari Kebangsaan tahun ini adalah  keberangkatan Yang di-Pertuan Agong baharu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Dataran Putrajaya.

Bersesuaian tema sambutan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, lebih 1,000 pelajar sekolah bergabung membuat persembahan khas menampilkan analogi sifat anai-anai sebagai simbolik kejelikan jenayah rasuah serta rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan negara hancur akibat jenayah itu.

Dengan jangkaan 500,000 pengunjung hadir, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penyelaras persiapan logistik buat pertama kalinya menyediakan kemudahan tempat duduk berangkat bagi orang awam, yang mampu memuatkan sehingga 4,000 orang.

Lebih 14,885 peserta dan lebih 300 aset terbabit dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019.

Untuk rekod, Putrajaya pernah menjadi tuan rumah  penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005 dan tahun lalu. -MalaysiaGazette