Najib Razak

KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan dengan risiko dikenakan sekatan ekonomi dan tarif tambahan oleh Amerika Syarikat (AS).

Itu salah satu daripada lima risiko yang mungkin dihadapi negara, kata bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“AS telah meletakkan Malaysia dalam senarai 16 negara yang mereka syaki adalah penipu perdagangan.

“Pada bulan Mei tahun ini, Malaysia juga disenaraikan sebagai salah satu dari sembilan negara untuk dipantau sebagai manipulator mata wang.

“Minggu lepas pula, rangkaian media antarabangsa Reuters mengeluarkan satu artikel yang menuduh kerajaan PH sedang bersuhabat dalam penipuan untuk menolong negara Venezuela dan Iran untuk mengelak sekatan ekonomi Amerika Syarikat.

“Reuters kata mereka ada bukti bahawa minyak yang diimport dari Venezuela dan Iran telah dilabelkan sebagai minyak Malaysia untuk dieksport semula kepada China,” katanya menerusi status Facebooknya hari ini.

Sebab itu, kata Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, eksport minyak dari negara kepada China telah meningkat tiga kali ganda pada tiga bulan yang lalu walaupun pengeluaran minyak dari Petronas jatuh sedikit.

“Pada saya juga, tindakan kerajaan PH untuk sering mempromosikan Malaysia sebagai negara yang mungkin menerima manfaat dari perang perdagangan AS dengan China juga tidak bijak.

AS merupakan destinasi eksport ke-3 terbesar untuk Malaysia dan sebarang sekatan ekonomi atau kenaikkan tarif kepada kita akan memberi kesan parah kepada ekonomi negara, katanya.

Risiko kedua, menurut Najib ialah harga minyak dunia jatuh ke bawah USS$30 setong.

Ia kerana kesilapan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merangka bajet 2019 dengan menggunakan andaian harga minyak dunia terlalu tinggi pada harga U$72 satu tong .

“Sehingga kini, purata harga minyak dunia adalah jauh di bawah andaian itu tahun ini dan menyebabkan bajet tahun ini sudah lari,” katanya.

Selain itu, PH juga telah meningkatkan kebergantungan hasi kerajaan kepada hasil petroliam dari 11 peratus ke lebih dari 32 peratus yang merupakan punca utama Petronas telah diturnkan taraf oleh syarikat penarafan antarabangsa dua bulan yang lepas.

Pada ketika ini, terdapat dua kemungkinan harga minyak dunia boleh jatuh ke bawah US$30 satu tong iaitu China sedang dalam perang perdagangan tidak lagi hirau tentang sekatan AS dan memulakan pembelian minyak secara besar-besaran dari Iran atau Venezuela.

Kedua, AS berdamai dengan Iran atau Venezuela dan sekatan ekonomi mereka dimansuhkan.

“Memandangkan kebergantungan kepada minyak telah berganda naik, andaian terlalu tinggi dan cukai GST telah dimansuhkan, jika harga minyak dunia jatuh kebawah US$30 satu tong sekali lagi seperti yang pernah berlaku pada tahun 2016, ekonomi negara serta matawang kita akan menerima kesan yang serious kerana kita sudah kekurangan ruang untuk membetulkan keadaan,” ujarnya lagi.

Risiko besar ketiga menurut Najib, hutang terus negara kepada KDNK naik dengan tinggi dan sekiranya sampai had paras 55 peratus – kerajaaan tidak dibenarkan lagi untuk meminjam

“Pada suku pertama tahun 2018 sebelum PH menang PRU14, nisbah ini adalah 48.7 peratus akan tetapi nisbah ini terus naik dengan ketara setiap suku dan kini sudah menjadi 52.7 peratus pada akhir suku kedua dan diunjur oleh kerajaan PH akan melebihi 53 peratus pada akhir tahun ini.

“Ini ialah kerana defisit kerajaan PH setiap tahun adalah jauh lebih tinggi dari masa BN yang telah menurunkan defisit lapan tahun berturut-turut sehingga PRU14.

“Oleh kerana nisbah ini sudah nak cecah 53 peratus dan dijangka akan terus naik maka ruang untuk kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi jika krisis ekonomi menjadi lebih teruk sudah terhad,” kata Najib.

Selain itu, risiko besar keempat ialah penipuan statistik daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ia tidak disukai oleh para pelabur.

“Jika pelabur dan ahli perniagaan tidak boleh percaya kepada apa yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan sebuah negara, bagaimanakah mereka akan yakin dengan Malaysia?” soal Najib.

Risiko besar kelima ialah sentimen perkauman yang semakin membara dan ketidakstabilan politik.

“Dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini dilaporkan bahawa masalah perkauman semakin meruncing malahan dikatakan paling teruk dalam sejarah terbaharu negara,” katanya. – MalaysiaGazette