Aliff Aziz

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon terkenal, Aliff Aziz hari ini didakwa di mahkamah Singapura pada atas tuduhan mencuri.

Menurut Berita Harian Singapura, berdasarkan kertas pertuduhan, artis kontroversi itu didakwa mencuri wang sebanyak S$300 (RM909) dan Rupiah 1 juta (RM296) pelakon Indonesia, Raja Yunika Perdhana Putri.

Aliff didakwa melakukan perkara itu di sebuah bilik di Studio M Hotel, 3 Nanson Road, Singapura antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 7 Jun lalu.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz turut menghadapi tuduhan mencuri sekotak rokok dan pemetik api bernilai S$15.60 (RM47.29) milik Gurwinder Singh di kafe Starbucks di Plaza Singapura.

Kejadian kedua itu didakwa dilakukan Aliff, 28, pada 6 Ogos lalu sekitar pukul 4.45 pagi.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin S$5,000 (RM15,000).

Perbicaraan akan disambung pada 1 Oktober ini.

Aliff sebelum kni mencetus beberapa siri kontroversi antaranya kemelut rumah tangganya dengan penyanyi dan pelakon Bella Astilah.

Aliff didakwa curang terhadap isterinya dan dikatakan menjalin hubungan dengan beberapa pelakon wanita.

Skandal yang menyelubungi Aliff mendapat liputan meluas media Malaysia dan Singapura.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun perkahwinan mereka tidak bertahan lama apabila pasangan itu bercerai pada 16 Mei lalu.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Ayden yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast