SHAH ALAM- Produk keluaran orang Islam dan Melayu tidak ada kurangnya daripada segi kualiti jika dibandingkan dengan barangan keluaran kaum lain.
Ini kerana menurut syarikat pengeluar minyak masak jenama Hanna, mereka juga melaburkan wang yang banyak dalam urusan penyelidikan dan pembangunan produk.
Jelas Pengarah Urusan Hana Intelek Sdn. Bhd., Anna Saad, usahawan-usahawan Muslim sekarang semakin sedar mengenai pentingnya kualiti di dalam menghasilkan sesuatu produk di samping mempunyai rasa tanggungjawab untuk memberikan makanan terbaik dan menyihatkan kepada pengguna-pengguna Islam yang lain.
“Usahawan-usahawan kita sendiri memang sudah lama mampu untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang lain cuma di pihak pengguna sahaja, terserahlah kepada mereka untuk membuat keputusan terbaik.
“Bagi jenama Hanna, kami sangat mementingkan kualiti kerana sejak sekian lama tidak ramai yang mengetahui mengenai minyak masak yang kita gunakan setiap hari.
“Dahulu emak-emak kita guna minyak masak dalam paket, emak saya pun guna.
“Kemudian bila berpelajaran sikit, saya pula bergiat dalam industri petroleum, baru saya tahu mengenai proses menghasilkan minyak masak.
“Dari mula ia menjadi tahap kekeruhan (CP) 10 kemudian ditapis beberapa kali menjadi CP 8 yang merupakan tahap kekeruhan minyak masak biasa yang dijual di pasaran.
“Apabila saya mengetahui CP 6 adalah yang terbaik, maka saya buat keputusan mengeluarkan minyak masak yang lebih berkhasiat dan baik untuk kesihatan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Jelas Anna, minyak masak CP 6 boleh ditakrifkan minyak masak untuk kesihatan yang telah ditambah dengan vitamin dan anti-oksida selain tidak berkeladak.
Ia juga mempunyai kualiti dan keupayaan untuk bertahan dalam cuaca sejuk bagi pasaran eksport.
Menurut beliau, para pengguna sepatutnya mengubah pemikiran yang sering skeptikal terhadap usahawan Muslim dengan menyangkakan mereka tidak mampu menghasilkan produk berkualiti setanding usahawan berbangsa asing.
Ini kerana banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO), jabatan agama Islam dan pelbagai agensi lain menyediakan khidmat latihan dan rangkaian kerja kepada usahawan-usahawan ini untuk berjaya dalam perniagaan masing-masing.
“Pengguna jangan cepat menuduh. Apabila kita nampak ada sesuatu produk Muslim yang berkualiti di pasaran kita terus menyangka, mesti di belakang syarikat ini adalah orang Cina.
“Saya sendiri pernah mengalami situasi tersebut, pada awalnya ramai menyangka saya hanyalah duta kepada minyak masak Hanna tetapi apabila mereka mengetahui bahawa sayalah pengeluarnya, mereka semak pula siapa rakan kongsi saya.
“Kalau produk bangsa lain, kita tidak fikir banyak sebelum beli. Bukan tidak boleh berhati-hati kerana pengguna memang ada hak cuma berilah keutamaan kepada produk Muslim.
“Ini penting kerana kita mahu makanan yang bersih dan suci masuk ke dalam badan,” katanya lagi.
Menurut Anna, minyak masak Hanna baru sahaja beroperasi selama sembilan bulan namun sambutan yang diterimanya sangat menggalakkan walaupun produk tersebut masih belum menembusi pasaraya-pasaraya besar.
Katanya, beliau mahu menumpukan jualan menerusi dua cawangan syarikat di Taiping, Perak dan Kedah serta lebih 500 pengedar di seluruh Lembah Kelang.
Jelasnya, pengedar-pengedar tersebut terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan golongan yang mahu menambah sumber pendapatan dengan menjual minyak masak tersebut tanpa memerlukan premis perniagaan.
“Saya mahu membantu meningkatkan ekonomi golongan di peringkat akar umbi.
“Setakat ini, maklum balas yang diterima amat baik,” katanya lagi.
Anna merancang untuk memiliki 1,000 pengedar menjelang akhir tahun ini. – MalaysiaGazette