Bekas Pegawai Khas Bekas Perdana Menteri, Amhari Efendi Nazaruddin hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-8 perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib  Razak dilihat sebak  ketika sedang membaca kenyataan bertulisnya.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib kelihatan hampir menangis dan terketar-ketar ketika membaca penyataan yang menceritakan bagaimana beliau  tertekan sehingga terdetik untuk berhenti kerja.

Ini kerana dakwa Amhari, sejak kematian Allahyarham Datuk Azlin Alias, beliau ‘terpaksa’ memikul tanggungjawab yang melibatkan rahsia besar sehingga mengalami tekanan.

Malah kata Amhari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Collin Lawrence Sequerah, Najib yang menjadi perdana menteri ketika itu mula memberikan arahan ‘sulit’ melakukan sesuatu perkara secara terus kepadanya.

“Datuk Najib mula berikan arahan secara terus kepada saya selepas kematian Datuk Azlin dan saya terpaksa mengambil alih tugasan khas melibatkan rahsia besar. Beliau meminta saya datang ke rumahnya di Langgak Duta sebelum memberikan arahan saya ke China seorang diri.

“Katanya, Jho Low akan uruskan lawatan saya ke sana. Saya juga pada masa yang sama terpaksa akur dan bersetuju dengan semua arahan Datuk Najib kerana beliau adalah perdana menteri. Masa itu, saya rasa cukup tertekan sehingga terlintas untuk meletak jawatan kerana kerja ini sudah mula membebankan saya,” katanya.

Ketika itu Amhari kelihatan sebak, terketar-ketar dan berhenti sekejap sebelum menyambung membaca kenyataannya.

“Jho Low pada masa sama turut menghubungi saya dan ada email saya arahan serta agenda saya di China kelak tapi saya tidak pasti adakah e mel ini sebelum atau selepas pertemuan saya dengan Datuk Najib.

“Walaupun saya amat hormat kepada Datuk Najib, itulah detik paling sukar buat saya. Saya bimbang akan dilibatkan dengan ‘percaturan’ Datuk Najib dan Jho Low sekiranya itu adalah untuk menutup isu kehilangan wang 1MDB dan pembayaran hutang IPIC yang libatkan penyewelengan 1MDB atau penyediaan dana politik.

“Penglibatan saya ke China merupakan satu arahan Datuk Najib secara sulit dan beliau telah memberitahunya ianya sangat penting. Memandangkan ianya arahan dari beliau, saya tidak berani untuk ingkar. Tambahan pula jika tidak patuh, ianya membawa ancaman kepada diri sendiri.

“Pada masa tersebut, saya diberikan tanggungjawab sebagai wakil diplomatik Datuk Najib dan atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri untuk mengesahkan pelaburan yang akan di buat antara Malaysia dan China.

“Bila tiba, Jho Low pula sudah ada di situ dan hadir dalam perbincangan. Selain itu, terma-terma yang hendak dibincangkan juga saya terima daripada Jho Low pada saat-saat akhir seolah-olah sudah ada seseorang yang membincangkan ianya lebih awal,” ujarnya.

Amhari mendakwa arahan-arahan sulit daripada Najib dibuat selepas isu penyewelengan dana 1MDB tersebar secara meluas.

“Datuk Najib telah mengarahkan saya ke China mewakili beliau bagi mengesahkan hubungan ekonomi kedua-dua buah negara termasuk pelaburan Malaysia-China namun begitu daripada talking points yang di tunjukkan oleh Jho Low, ianya seperti bail out membayar balik hutang 1MDB.

“Saya juga mengesahkan lawatan saya ke China ini hanya diketahui oleh Jho Low dan Datuk Najib sahaja berdasarkan agenda dan talking points jelas menunjukan mereka berdua menggunakan perjanjian dengan syarikat GLC China untuk menyelamatkan hutang-hutang 1MDB,” jelasnya.

Setibanya di China, Amhari mendakwa tidak faham setengah daripada perkara yang dibincangkan kerana Jho Low bercakap dalam bahasa Mandarin.

“Ada masanya Jho Low terjemahkan kepada saya tetapi tidak kesemuanya tetapi yang pasti, berdasarkan isi kandungan saya dapat simpulkan Datuk Najib bawa syarikat GLC China melabur ke sini (Malaysia) dengan cara pengambilalihan hutang-hutang 1MDB dan SRC International,” ujarnya.

Perbicaraan akan bersambung esok jam 9.30 pagi dengan ketua pasukan peguambela, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah membuat soal balas dengan Amhari berhubung kenyataannya semalam dan hari ini. –MalaysiaGazette