Isteri Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, sebak semasa menunggu solat jenazah di Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Masjid Al Fatih di Kem  Wardieburn sebaik sahaja isteri Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun tiba bersama tiga anaknya.

Beliau kemudiannya menyertai ahli keluarga yang lain termasuk bapa Allahyarham, AR Badul menunggu ketibaan jenazah Zahir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau yang sempat ditemui media kelihatan tidak dapat menahan air mata apabila ditanya tentang tragedi yang menimpa suaminya itu.

Dalam nada suara hiba, Nour Shafinar meluahkan perasaannya yang dapat merasai detik-detik bakal kehilangan insan tercinta apabila Allahyarham suaminya itu berkelakuan seperti cuba untuk menjauhkan diri daripadanya.

Perubahan itu dapat dilihat pada 26 Ogos lalu ketika dia menghantar Zahir ke Lapangan Terbang Subang untuk tugasan di Kota Kinabalu, Sabah.

Isteri Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2019

“Saya dapat rasa dia menjauhkan diri dengan saya. Dia bagi saya marah dia, macam nak jauhkan diri daripada saya.

“Saya minta ampun, minta maaf dan saya cakap ‘daddy kalau ummi menyusahkan, maafkan ummi, lepaskan ummi  cara baik. Ummi minta ampun, minta maaf, halalkan makan minum’,” katanya.

Menurut Nour Shafinar, semalam dia sempat membuat panggilan video berbual dengan suaminya itu, namun Allahyarham lebih banyak bercakap dengan anak-anaknya.

Sebelum mengakhiri perbualan, ibu kepada tiga cahaya mata itu sempat meluahkan rasa rindu terhadap suaminya itu dan Allahyarham membalas ringkas memberitahu dia turut mempunyai perasaan yang sama.

Isteri Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, menunggu ketibaan jenazah suaminya di Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2019

Kata Nour Shafinar, beliau menerima panggilan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pagi tadi memaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.

Nour Shafinar turut memberitahu permintaan suaminya supaya dia berpindah ke Perak dan mencari rumah berhampiran dengan kediaman ibunya.

“Pada 25 Ogos saya bawak balik dia ke Melaka sebab dari rumah jumpa anak-anak.

“Dalam perjalanan dia ada bagi tahu saya supaya saya balik ke Perak. Saya sudah habis berkhidmat dan saya tanya  saya nak tinggal di mana lepas ini.

“Dia bagi kata putus untuk pindah ke Perak, senang dia nak tukar tempat kerja,” katanya lagi.

Dalam nada sebak, Nour Shafinar berkata beliau bersyukur dapat mendirikan rumah tangga bersama Zahir dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

“Sepanjang perkahwinan dengan dia, kami bahagia dan dia memang lelaki sempurna bagi saya.

“Saya rasa bertuah sangat hidup dengan dia. Allah pinjamkan dia sekejap sahaja,” katanya lagi.

Zahir Armaya meninggal dunia difahamkan terkena tembakan senjata jenis M4 semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 9.20 pagi Rabu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast