Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz beramah mesra dengan rakan strategik yang merupakan penerima-penerima penghargaan plakad kerjasama sempena kempen tersebut pada Majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di NU Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berseloroh akan memberikan slot temubual eksklusif kepada wakil media sekiranya dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri dalam rombakan kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagaimanapun tidak maklum tentang ura-ura akan dilantik jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang.

“Pasal rombakan kabinet, portfolio di luar jangkaan dan pengetahuan saya.

“Seandainya berlaku? Sekarang berlaku atau belum? Belum (jadi tak perlu komen). Kalau berlaku nanti saya beri interbiu khas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, khabar angin mengatakan rombakan pertama dalam kabinet Pakatan Harapan akan berlaku dan portfolio beberapa kementerian akan ditukar.

Selain mengatakan Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang akan menggantikan Muhyiddin, sebuah portal memetik sumber berkata, Lim Guan Eng juga bakal digugurkan daripada Kementerian Kewangan dan berpindah ke portfolio baharu.

Saifuddin tidak mahu mengulas lanjut kerana hormat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya tidak mahu cetus apa-apa spekulasi saya harus hormat bidang kuasa Perdana Menteri,” tambahnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Soalan itu patut tanya Tun M – Muhyiddin