Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang ramai pada sesi dialog khas pemberdayaan ekonomi umat atau Halfest Jakim di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 08 SEPTEMBER 2019

SERI KEMBANGAN – Pakar-pakar ekonomi dari universiti tempatan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang membuat kajian mengenai tahap kemiskinan di negara ini.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian itu bagi memberi gambaran yang tepat mengenai kadar kemiskinan berbanding dapatan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, katanya, adalah terlalu awal untuk mendedahkan kepada umum mengenai kajian yang sedang dilakukan dan ruang luas perlu diberikan kepada pakar-pakar ekonomi untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kita sudah bawa dua minggu yang lalu kepada fokus Parlimen.

“Kita sudah putuskan untuk maklumkan kajian ini dan ulasannya kepada seluruh ahli Parlimen.

“Pada peringkat ini keputusan begitu terlalu awal, kita berikan ruang kepada EPU kepada pakar ekonomi termasuk Prof. Jomo Sundram, pakar ekonomi Universiti Malaya dan Universiti kebangsaan Malaysia untuk beri input supaya semua ahli Parlimen dapat ikuti,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan dialog khas Pemberdayaan Ekonomi Umat dengan usahawan pada Fiesta Halal 2019 di MIECC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, rumusan daripada kajian yang dibuat akan dibentangkan kepada semua ahli Parlimen.

Anwar membuat kenyataan itu selepas ditanya mengenai gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi memberi gambaran tepat berhubung kemiskinan di negara ini selepas laporan Malaysia didakwa memalsukan ukuran tahap kemiskinan.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu memaklumkan  kadar kemiskinan rasmi adalah 0.4 peratus berbanding 15 peratus yang dianggarkan dalam laporan PBB.

CAP mendakwa, rakyat Malaysia tertipu hingga terpaksa melaksanakan dasar sama yang gagal.

Malah, ia merupakan satu skandal yang amat besar dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.

Terdahulu, dalam ucapannya pada sesi dialog berkenaan, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kajian kemiskinan yang didedahkan oleh kerajaan terdahulu sebelum ini dianggap tidak tepat dan perlu disemak semula. – MalaysiaGazette