Omar al-Bashir. foto Agensi

KHARTOUM – Omar al-Bashir, adalah satu-satunya individu yang mempunyai kunci sebuah bilik di istana presiden yang menyimpan berjuta-juta euro, menurut keterangan yang dibuat oleh bekas pengurus pejabat.

Dalam prosiding di mahkamah, Yasser Basheer berkata, bekas presiden memberinya lebih daripada 10 juta euro (AS$ 11 juta) tunai dalam bulan terakhir pemerintahannya untuk penghantaran kepada pelbagai pihak.

Bashir menghadapi pertuduhan tuduhan memiliki mata wang haram dan melakukan rasuah.

Bekas presiden itu digulingkan pada bulan April selepas memerintah selama 30 tahun, susulan protes terhadapnya berlangsung beberapa bulan.

Yasser adalah bekas pengurus, yang bekerja dengan Bashir dari September 2018 dan bercakap sebagai saksi peguam bela berkata, presiden pernah sekali memberinya 5 juta euro untuk diserahkan kepada Abdelrahim Hamdan Dagalo, timbalan ketua pasukan angkatan tentera Rapid Support Force (RSF)

Wang itu, Yasser berkata, disampaikan di hadapan adik Abdelrahim Mohamed Hamdan Dagalo, ketua RSF dan timbalan ketua Majlis Ketenteraan Transisi yang memerintah selepas pengusiran Bashir.

Beliau kini menjadi ahli Majlis Kedaulatan yang dibentuk dalam perjanjian perkongsian kuasa tentera-awam.

Penerima tunai lain termasuk Kementerian Pertahanan, termasuk kakitangan tentera dan orang awam untuk rawatan perubatan, kata Basheer, sambil menambah dia tidak tahu sumber wang tunai itu dan hanya menyerahnya mengikut arahan.

Abdelmoneim Mohamed, seorang akauntan di Universiti Antarabangsa Afrika, sebuah institusi swasta dengan kaitan dengan Islam, juga memberi keterangan dalam pertahanan Bashir.

Beliau berkata, pengarah dan timbalan pengarah universiti turut menerima 4 juta euro secara tunai dari Bashir.

Semasa prosiding berlangsung, Bashir duduk di dalam kandang tertuduh di mahkamah yang memakai jubah putih dan serban tradisional.

Walaupun Bashir tidak bercakap pada pendengaran hari Sabtu, beliau menafikan tuduhan itu apabila secara rasmi didakwa seminggu lalu.

Bercakap secara terbuka buat kali pertama sejak ditahan, Bashir pada minggu lalu berkata, beliau menerima AS$ 25 juta daripada Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, serta dari sumber lain, tetapi tidak menerima atau menggunakan wang untuk manfaatnya sendiri.

“Saya menggunakan wang untuk sumbangan peribadi kepada pelbagai pihak,” termasuk perkhidmatan perubatan, universiti, saluran media Islam dan peruntukan bahan api segera, katanya.

Berjuta-juta mata wang euro dan pound Sudan ditemui di kediaman Bashir pada bulan April, kata sumber kehakiman.

Tuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun. Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 14 September. – MalaysiaGazette