Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk kerajaan diingatkan agar tidak cepat melatah berhubung gerakan utamakan produk Muslim atau Buy Muslim’s First (BMF), kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya.

Menurut beliau, inisiatif yang berjalan sekarang ini bertujuan memberi pengajaran kepada sebarang cubaan pihak tertentu termasuk menteri-menteri supaya tidak mengeluarkan kenyataan melulu sehingga menimbulkan prasangka dalam kalangan masyarakat.

Beliau mengulangi pendirian bahawa kempen seumpama itu langsung tidak ada kaitan dengan tindakan memboikot produk Islam, namun masih timbul poster dan tuduhan di laman sosial menyatakan sebaliknya.

“Jika ada mana-mana laporan dalam media yang mengaitkan kempen ini dengan isu kaum, itu bukan dari UMMAH mahupun pendukung-pendukung kempen ini.

“Saya yakin mereka hanya cybertrooper yang cuba untuk mengganggu dan mensabotaj kempen kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin mengulas lambakan poster dan hantaran yang tular di laman sosial mengaitkan kempen BMF dengan gesaan pengguna memboikot produk keluaran bukan Islam.

“Nasihat saya kepada rakyat, ayuh kita teruskan usaha murni ini dan jangan patah semangat. Insyaallah akan kebaikannya akan dirasai oleh semua rakyat. Teruskan berkempen,” ujarnya lagi.

Sejak beberapa minggu lalu, kempen yang dilancarkan UMMAH dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) khusus untuk masyarakat Islam di negara ini telah menimbulkan polemik dalam kalangan pihak tertentu.

Ia turut mendapat perhatian dalam kalangan pempimpin negara dengan rata-rata menyifatkanya sebagai tindakan boikot yang sangat tidak wajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast