Datuk Kua Abun
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Kua Abun berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Sumber Manusia di Shaftsbury Asteria Cyberjaya. foto IQBAL BASRI, 10 SEPTEMBER 2019

CYBERAJAYA – Rangka Tindakan Sumber Manusia (NHRBP) yang bakal diperkenalkan akhir tahun depan akan mengambil kira perubahan dan peluang yang wujud dalam industri pekerjaan, kemahiran serta modal insan dalam menambah baik pembangunan ekonomi Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Datuk Kua Abun berkata, hasilnya akan membuka jalan kepada pelan pembangunan yang strategik dan komprehensif  sesuai dengan trend, corak dan isu berkaitan tenaga kerja, tempat kerja dan pekerjaan.

“Persidangan Sumber Manusia hari ini menjadi platform untuk menyediakan input yang diperlukan, relevan dan berguna untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pembangunan NHRBP.

“Persidangan itu juga untuk mengumpul idea dan input daripada pembuat dasar, pemain industri dan ahli akademik dalam mendepani isu dan cabaran dalam pembangunan sumber manusia yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa dan akan datang.

“Kajian rangka kerja tenaga kerja akan menilai kesan liberalisasi, globalisasi, digitalisasi, e-dagang, kemajuan teknologi dan inovasi yang dibawa oleh revolusi industri ke arah ekonomi Malaysia serta implikasinya terhadap pekerjaan untuk rakyat, pekerja asing dan ekspatriat,” katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran merasmikan Persidangan Sumber Manusia, di Shaftbury Asteria, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, rangka tindakan itu juga akan mengambil kira isu kebanjiran pekerja asing di negara ini dan mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja luar.

“Kementerian Sumber Manusia menyedari tentang isu kemasukan pekerja asing di negara kita.

“Kajian ini juga akan menilai kajian dan merumuskan arahan dasar untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing dan ekspatriat,” katanya.

Katanya lagi, NHRBP juga akan digunakan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi dalam pasaran buruh pada masa ini.

“Tindakan dan saranan berkaitan akan dicadangkan untuk mengukuhkan pembangunan modal insan, meningkatkan keharmonian perindustrian, meningkatkan kecekapan, membangunkan pengetahuan, kreativiti usahawan, tenaga kerja yang cekap dan menggalakkan perlindungan keselamatan sosial yang holistik, upah yang berpatutan dan meningkatkan produktiviti, kemakmuran untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette