KUALA LUMPUR – Harimau Malaya gagal dalam misi untuk menamatkan badi 37 tahun untuk menang ke atas pasukan rangking Ke-65 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kalah tipis 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Kali terakhir Malaysia menundukkan UAE adalah pada tahun 1982 dalam Piala Merdeka dan AFC Asian Cup 1980 dalam 12 pertemuan antarabangsa dan malam ini gagal mengubah sejarah itu.
Dalam aksi kedua peringkat Kumpulan G, Pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memulakan aksi dengan mengejutkan the Whites melalui jaringan menerusi tandukan kencang Muhammad Syafiq Ahmad hasil hantaran Matthew Davies pada minit pertama.
Dengan semangat menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta Khamis lalu, Harimau Malaya beraksi cemerlang dengan licikĀ melakukan serangan mengejut dan menguasai perlawanan sepanjang masa.
Ia telah menyukarkan skuad the Emirates bimbingan jurulatih Belanda hilang rentak dan penguasaan bola atas padang akibat tidak dapat bertahan dengan asakan demi asakan Harimau Malaya.
UAE ternyata menghadapi masalah di pertahanan sayap kiri tempat yang mana anak muda didikan Cheng Hoe berjaya mengambil kesempatan menyerang gawang gol pasukan pelawat dari sudut itu mencipta gol pertama.
Tiga peluang keemasan telah diperoleh Harimau Malaya termasuk untuk Norshahrul Idlan Talaha untuk menambah jaringan bagaimanapun kesemuanya disia-siakan.
Bagaimanapun kelebihan 1-0 Harimau Malaya di gelanggang sendiri tidak bertahan lama apabila penyerang berbisa UAE, Ali Ahmed Mabkhout berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kencang pada minit ke-43 sebelum wisel tamat separuh masa pertama ditiup Pengadil Jepun Hiroyuki Kimura.
Pada separuh masa kedua, Harimau Malaya memulakan perlawanan dengan dalam keadaan hilang rentak kerana kepenatan namun cuba yang terbaik untuk mengekalkan momentun perlawanan.
Namun kesilapan demi kesilapan dan kehilangan fokus dalam mengawal serta penghantaran bola secara kemas ‘menghukum’ anak buah Cheng Hoe oleh Ali Ahmed Mabkhout yang meletakkan pasukan bimbingan Lambertus Marwjk dihadapan menerusi gol kedua pada minit ke-74.
Harimau Malaya ternyata terkejut setelah dibolos kali kedua dengan perlawanan berbaki 16 minit lagi pada separuh masa kedua.
Malaysia melakukan pertukaran pertama membawa masuk J.Partiban menggantikan Norshahrul Idlan pada minit ke-61 sebelum membuat pertukaran kedua di jentera tengah menerusi kemasukan Mohamed Syamer Kutty.
Pada minit ke 77, penjaring gol tunggal Harimau Malaya Muhammad Syafiq Ahmad digantikan dengan Muhammad Akhyar Rashid.
Kemasukan tiga pemain itu berjaya membawa impak darisegi corak permainan skuad Malaysia yang memulakan beberapa serangan 15 minit terakhir.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi mereka apabila salah satu percubaan tepat oleh Syamer terkena tiang gol dan ditendang keluar oleh pemain lawan.
Lima minat masa kecederaan tambahan diberikan di separuh masa kedua yang mana satu-satunya peluang yang ada untuk skuad kebangsaan menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun ia juga tidak membantu mengubah keputusan dan minit ke-95 Malaysia memperoleh peluang emas menyerang dari sudut kanan kawasan lawan sebelum pemain Harimau Malaya diasak dua pemain pertahanan lawan dalam kotak penalti menyebabkan terlepas bola.
Panyokong lebih 43,000 yang hadir menonton perlawanan di stadium bersorak mahukan ‘penalti’ bagaimanapun pengadil menolak tuntutan beberapa pemain Harimau Malaya sebelum keputusan berakhir dengan 1-2 memihak kepada UAE.
Dengan kekalahan itu, Malaysia menduduki tangga ketiga dengan tiga mata menerusi dua perlawanan dalam carta kumpulan G, manakala UAE di tempat kedua dan Thailand mengungguli kumpulan dengan empat mata selepas menewaskan Indonesia 3-0 malam tadi.-MalaysiaGazette