Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menasihatan agar pengurusan sekolah-sekolah di negara ini untuk menghentikan semua aktiviti luar kelas yang melibatkan semua murid.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata, peringatan itu diberikan sebagai langkah berjaga-jaga jika fenomena jerebu melanda kawasan sekolah.

“Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bilangan 1/2018 bertarikh 8 Ogos 2018 yang dipengerusikan oleh YB. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah bersetuju meluluskan pindaan Akta Jerebu Kebangsaan.

“Justeru, pihak KPM diarahkan supaya mengambil langkah-langkah yang wajar untuk menjamin kesihatan dan keselamatan murid-murid di sekolah-sekolah yang berada di kawasan yang kritis,” kata KPM dalam satu kenyataan.

Menurut pindaan itu, pihak sekolah dinasihatkan agar menghentikan semua kegiatan di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid jika bacaan IPU melebihi 100.

Dan jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta-merta; dan sekiranya bacaan IPU melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 11 pagi tadi, bacaan IPU di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang antaranya Batu Muda mencatatkan bacaan IPU 157, Cheras (150), Putrajaya (139), Petaling Jaya (140), Shah Alam (130).

Kawasan Rompin, Pahang mencatatkan bacaan tertinggi di Semanjung Malaysia dengan bacaan IPU 194 dan johan Setia di Klang di tempat kedua dengan 160 bacaan IPU.

Sementara di Sarawak, bacaan IPU di empat kawasan mencatatkan bacaan kurang menarik apabila Sri Aman mencatatkan bacaan IPU pada tahap 192, Samarahan (121), dan Kuching (144). -MalaysiaGazette