Shaharizukirnain Abdul Kadir
Shaharizukirnain Abd. Kadir

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama dari DAP dinasihatkan tidak membawa perspektif negatif terhadap kempen membeli barangan Muslim.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, naratif bersifat negatif dan perkauman yang sengaja dihalakan terhadap kempen kesedaran kepenggunaan itu sewajarnya tidak berbangkit.

Katanya, ia bukan saja mendorong perpecahan dalam masyarakat, bahkan ibarat menyimbah petrol ke dalam api perkauman yang tidak perlu.

“Kesedaran kepenggunaan dalam kalangan masyarakat membeli barangan Muslim Bumiputera mendapat pelbagai reaksi daripada pimpinan parti komponen kerajaan hari ini.

“Ironinya, meskipun banyak kali dijelaskan kempen ini tidak bermaksud meminggirkan barangan bukan Muslim yang lain, apatah lagi memboikotnya, masih ramai pimpinan PH sengaja membawa naratif bahawa kempen ini suatu bentuk boikot terhadap barangan bukan Muslim,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau turut mengharapkan menteri tidak memboikot kempen membeli barangan Muslim Bumiputera itu hanya semata-mata disebabkan alasan tidak munasabah.

Ini kerana, kata Shaharizukirnain, di sebalik tindakan mereka seringkali merujuk kempen membeli barangan Muslim ini sebagai suatu tindakan boikot, tanpa disedari mereka sendiri juga seolah sedang “memboikot” kempen tersebut. – MalaysiaGazette