Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU, Saiful Adli Mohd Arshad bercakap ketika mengumumkan senarai nama yang layak bertanding pada sidang media mengenai pemilihan parti tersebut di Ibu Pejabat BERSATU Malaysia, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2024

PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menang tanpa bertanding masing-masing bagi jawatan presiden dan timbalan presiden bagi jawatan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam Pemilihan Bersatu 2024-2027.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad bagaimanapun berkata, pengisytiharan rasmi kedua-dua kemenangan tunggal ini hanya akan diumumkan selepas selesai persidangan bahagian pada 2 November.

“Bagi jawatan presiden, hanya satu pencalonan sahaja diterima iaitu Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin dari Bahagian Pagoh.

“Bagi jawatan timbalan presiden pula, juga hanya satu pencalonan sahaja yang disahkan layak bertanding iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Bahagian Larut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama ahli Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU setiap negeri selepas sidang media mengenai pemilihan parti tersebut di Ibu Pejabat BERSATU Malaysia, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2024

Bagaimanapun penyandang jawatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mempertahankan jawatan itu, sebaliknya melakukan “downgrade” dan akan merebut jawatan Naib Presiden.

“Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Mohd Radzi Md Jidin akan mempertahankan jawatan Naib Presiden kali ini.

“Selain Ahmad Faizal, tiga jawatan Naib Presiden juga akan dicabar tiga lagi muka baharu iaitu A’ziss Zainal Abidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah,” katanya.

Menurut Saiful Adli, seramai 80 individu yang layak bertanding akan merebut 20 jawatan sebagai Ahli MPP dalam pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027.

“Antaranya Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan dari Bahagian Bangi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Hulu Langat), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).

“Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) yang habis penggal sebagai Ketua Armada turut mencuba nasib ahli MPP kali ini.

“Selain itu, turut sama Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bharu), Badrul Hisham Shaharin (Port Dickson), Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (MP Tanah Merah), Dr Afif Bahardin (Shah Alam/ADUN Taman Medan) dan Dr Mohd Aleef Yusof (Tangga Batu/ADUN Sg Udang),” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Boleh pulak kluster mahkamah jadi presiden dan timbalan presiden tanpa bertanding pulak tu. Kalau UMNO macam kapal nak karam bisingnya. Wahai ahli BERSATU , kamu semua dah di cucuk mata da. Hidung ke? Sampai diperbodohkan begitj rupa. Oebih baik bubar saja parti ni.

Comments are closed.