Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan hubungan ta’awun siyasi atau kerjasama politik antara parti Melayu Islam terbesar di negara ini adalah dasar penyatuan bukan perkauman.

Serentak itu juga, Pas menolak sebarang propaganda yang dicetuskan Pakatan Harapan (PH) untuk menggambarkan hubungan parti itu dengan UMNO bermotifkan sentimen perkauman yang sempit dan boleh mengundang konflik keharmonian.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir pernah menyatakan sebelum ini bahawa bangsa Melayu telah berpecah belah.

Katanya, tindakan membentuk kerjasama Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk mempertautkan semula orang Melayu yang merupakan tonggak politik utama negara dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan.

Laporan Straits Times (ST) pada Jun tahun lalu telah memetik pandangan daripada Merdeka Centre dan Kumpulan KRA yang mendedahkan 95 peratus pengundi Cina dan 75 peratus pengundi India menyokong PH.

Oleh itu, ujarnya, tidak salah jika Pas dan UMNO mengukuhkan kembali kekuatan dalam kalangan 70 peratus pengundi Melayu.

“Hasrat PH sebenar adalah untuk memecahkan kesatuan 70 peratus ini,” tegasnya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, banyak isu dimainkan PH termasuk kumpulan pendukungnya yang jelas menggugat status quo negara seperti ICERD, Statut Rom, UEC, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, LGBT serta hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“Maka, penyatuan ini adalah satu tuntutan yang mendesak supaya dapat mengimbangi isu sensitif yang dimainkan oleh PH.

“Menjelang Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914), jentera PH semakin agresif menggambarkan kerjasama politik Pas dan UMNO adalah tindakan rasisme dan ekstremisme.

“Mereka turut mendoktrinkan kempen mengutamakan produk Muslim (BMF) sebagai agenda boikot barangan bukan Muslim. Doktrin pecah dan perintah sangat sinonim dengan agenda PH untuk bongkak berkuasa,” ujarnya.

Beliau memberi jaminan agenda penyatuan ummah tidak akan meminggirkan hak orang bukan Islam seperti diajar oleh Islam dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya, Pas telah merintis banyak perbincangan dengan MCA dan MIC sebelum ini agar pelbagai salah faham dapat diperbetulkan.

“Insha-Allah, penyatuan ummah ini akan menguntungkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette