Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Jumaat dan Sabtu ini adalah tarikh bersejarah bagi orang Melayu Islam, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 13 dan 14 September ini merupakan tarikh yang bakal tercatat sebagai sejarah kepada penyatuan ummah terbesar negara ini.

“Ia bukan soal politik kepartian. Ia bukan hanya soal UMNO dan Pas sahaja, tetapi ia soal masa depan umat Melayu Islam Bumiputera dalam negara kita apabila kita merasa pemerintahan bangsa DAP hari ini tidak lagi mengutamakan hak Islam Melayu yang tertulis dalam Perlembagaan Negara.

“Islam tidak lagi dihormati sebagai agama rasmi negara, manakala Bumiputera pula tidak lagi dihormati sebagai kaum majoriti dan kaum tunjang di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada media di sini, hari ini.

Juterus, katanya, demi menunjukkan kesatuan Melayu Islam, kedua-dua kepimpinan, ahli, penyokong dan rakyat akan beramai-ramai bersama dalam majlis dan program yang telah diatur sepanjang tarikh itu yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kita buktikan sokongan kita. Kita nyatakan kesyukuran kita. Kita tunjukkan kesatuan kita. Kita bersama meraikan penyatuan ummah ini bersama-sama.

“Ahli UMNO, Pas serta NGO dijemput hadir dalam majlis bersejarah untuk memenuhi dewan keramat di PWTC ini untuk kita merealisasikan satu perjanjian dan gerak kerja yang bakal kita sama-sama jayakan,” katanya. – MalaysiaGazette