ANKARA – Akhbar Turki telah menerbitkan transkrip butiran baharu saat-saat akhir pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Pengkritik kerajaan Arab Saudi itu dibunuh di Konsulat Arab Saudi di Istanbul selepas memasuki premis itu pada 2 Oktober lalu untuk mendapatkan dokumen bagi perkahwinannya dengan seorang warga Turki.
Sabah, akhbar pro-kerajaan itu mendakwa transkrip tersebut diambil daripada rakaman yang diperoleh oleh risikan Turki.
Rakaman tersebut termasuk kata-kata terakhir wartawan itu.
Khashoggi adalah kolumnis akhbar Washington Post dan berpangkalan di Amerika Syarikat sebelum kehilangannya.
Akhbar itu menerbitkan dua laporan baru minggu ini berhubung kematian Khashoggi ditangan kumpulan yang mereka labelkan sebagai “skuad bunuh”.
Ia termasuk butiran seperti pakar forensik, sebahagian daripada pasukan yang dihantar dari Arab Saudi, didakwa merujuk Khashoggi sebagai “haiwan yang akan dikorbankan” sebelum kedatangannya.
Laporan Sabah mengatakan Khashoggi menjadi curiga ketika berada dalam konsulat dan diberitahu dia terpaksa kembali ke Riyadh atas perintah Interpol.
Wartawan itu didakwa menolak untuk mematuhi permintaan, menghantar mesej kepada anaknya, dan kemudiannya diberi dadah, menurut akhbar itu.
Khashoggi dilaporkan kemudian memberitahu pembunuhnya, dalam kata-kata terakhirnya, untuk tidak menutup mulutnya kerana asthma dan kemudian tidak sedar diri.
Mangsa kemudian sesak nafas dengan beg yang diletakkan di atas kepalanya, laporan Sabah, dengan bunyi tidak keruan dalam rakaman.
Mereka akhbar juga menuduh pembunuhan itu berlaku di tangan ahli forensik.
Laporan kewujudan rakaman audio kematian Khashoggi telah didedahkan sejak tahun lepas. – MalaysiaGazette